Saya mendapati kritikan terhadap pengumpulan Data Telefon Bimbit (MPD) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bukan sahaja tidak jujur, malah cubaan menyarankan niat jahat itu adalah taktik lapuk bagi menakutkan orang ramai.
MCMC, yang memerlukan syarikat telekomunikasi menyerahkan data telefon bimbit, telah digambarkan sebagai agen kerajaan untuk menyekat kebebasan bersuara – pengawal selia itu digambarkan sebagai manifestasi mimpi ngeri ala-Orwell iaitu pemikiran yang menghancurkan kebebasan kita.
Kebanyakan kritikan tersebut sarat dengan motif politik, bukan sahaja mendakwa tindakan itu sebagai salah guna kuasa kerajaan, tetapi ramai dalam kalangan pengkritik adalah ahli parti politik.
Saya harus katakan bahawa semua ini hanyalah politik malas dan simplistik – menggunakan taktik menakutkan dan kepura-puraan.
Sepanjang hujung minggu, terdapat laporan bahawa MCMC telah memaksa syarikat telekomunikasi untuk berkongsi data telefon atau berdepan dengan denda atau penjara.
Ia digambarkan sebagai cubaan jahat untuk mengintip pengguna telefon bimbit, mungkin sebagai usaha mengawal minda secara rahsia dan pencerobohan terhadap privasi kita.
Memandangkan MPD itu telah diluluskan oleh Kabinet, kata pengkritik, ia adalah bukti kerajaan melangkaui batasan undang-undang bagi mengintip rakyat.
Namun, tiada seorang pun daripada pengkritik itu cuba menjelaskan lebih daripada naratif tersebut.
Tiada siapa yang menyebut ia adalah lanjutan daripada usaha global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam pembinaan data untuk tujuan penambahbaikan perkhidmatan; atau data tersebut akan menjadi sebahagian daripada statistik kebangsaan, sama seperti bagaimana Jabatan Perangkaan merekodkan kadar kelahiran dan kematian, pendapatan isi rumah, akses kepada internet dan sebagainya.
Tidak ada yang menyatakan syarikat telekomunikasi hanya akan berkongsi data yang telah dinyahidentiti – tanpa nama atau nombor – kepada MCMC dengan tujuan memberikan gambaran lebih jelas tentang keadaan infrastruktur telekomunikasi negara, contohnya.
Disebabkan ia tidak selari dengan naratif MCMC dan kerajaan sedang mengintip rakyat, tidak ada yang menyebut mengenai jaminan bahawa privasi pengguna tidak akan dikompromi.
Pernah dikatakan dalam dunia World Wide Web, kandungan adalah raja, tetapi kini di alam media sosial, algoritma memerintah. Platform-platform ini menjejaki anda, mengenal pasti tabiat anda, menyelidik apa yang anda suka atau tidak dan kemudian menyajikan lebih banyak perkara yang sama.
Ada masanya anda mungkin tertanya-tanya, dengan berbilion kandungan di media sosial, mengapa anda sentiasa disajikan dengan video kucing atau teori konspirasi? Facebook, Instagram, TikTok, Google, YouTube, X dan sebagainya – menggunakan algoritma yang mengenali anda lebih baik daripada diri anda sendiri.
Mandat MPD hanyalah sebahagian kecil daripada data yang dikumpulkan oleh platform-platform ini, namun tiada sepatah perkataan pun kedengaran daripada pejuang kebebasan pengguna apabila algoritma digunakan untuk menyebarkan penipuan, kepalsuan dan maklumat salah.
Jelas sekali platform-platform ini menjadi tempat bagi penipu, pelaku pornografi, pengantunan seksual kanak-kanak dan pelbagai lagi.
Apabila MCMC ingin mewajibkan pelesenan platform-platform ini atas faktor mahu menangani peningkatan lebih 140 peratus dalam pornografi kanak-kanak di negara ini pada tahun lalu, para pengkritik ini enggan membincangkan isu sebenar, kecuali tentunya menggunakan retorik kebebasan bersuara.
Kita sepatutnya membantah sebarang usaha untuk menyekat kebebasan kita, tetapi kita juga tidak seharus gagal melihat gambaran yang lebih besar.
Kita tidak boleh menjerit “api” di dalam teater hanya kerana terdapat percikan kecil yang perlu dipantau sebelum ia menjadi tidak terkawal. Kesimpulan yang berlebihan tentang niat dan keupayaan kerajaan, dan reaksi yang keterlaluan ini menghalang perbincangan yang bertanggungjawab. Ia juga tidak jujur.
Kita semua harus memantau sebarang penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa dan kerajaan, tetapi kita juga tidak boleh buta terhadap gambaran menyeluruh. Begitu juga, kita perlu menilai keterlaluan politiking dalam semua perkara. – 13 Jun, 2025
Wartawan veteran Datuk Zainul Arifin ialah CEO Big Boom Media yang menerbitkan Scoop

