KUALA LUMPUR – Konsep penubuhan ‘payung besar’ dicetuskan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah kabur dan sukar untuk mencapai matlamat bagi penyatuan ummah selepas penolakan serta-merta oleh Umno, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin.
Hashim yang dihubungi Scoop berkata, konsep berkenaan hanya mendapat sokongan daripada segelintir badan bukan kerajaan (NGO).
Malah, beliau juga tidak melihat sokongan bersungguh-sungguh orang Melayu dan Islam terhadap konsep payung besar berkenaan berbanding usaha PAS yang telah lama bergerak atas landasan penyatuan ummah melalui Muafakat Nasional (MN).
“PAS dah cuba usahakan dan ada dasar penyatuan ummah itu melalui kerjasama Muafakat Nasional bersama Umno sebelum ini.
“Oleh kerana niat Tun Mahathir nak menyatukan ummah, maka kita terima atas dasar penyatuan ummah itu, sama ada ia berjaya atau tidak, saya tak nampak ke arah itu,” katanya kepada Scoop.
Baru-baru ini, Dr Mahathir mengumumkan satu gerakan dikenali sebagai Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu bagi menyatukan orang Melayu di bawah satu payung besar.
Menurut Dr Mahathir, penubuhan jawatankuasa berkenaan adalah bagi mengembalikan kekuatan politik selain mempertahankan kedudukan orang Melayu di negara ini.
“Ia bukan parti politik, tapi satu usaha untuk satukan semua gerakan yang memperjuangkan orang Melayu dalam satu kumpulan sahaja,’’ kata Dr Mahathir.
Sementara itu, Hashim berkata, PAS tidak pernah menarik diri daripada dasar penyatuan ummah dan sentiasa terbuka kepada sebarang usaha murni menghidupkan kembali kerjasama MN.
“Dasar penyatuan ummah itu tak pernah PAS batalkan. Tapi kalau pihak itu melihat kerjasama itu merugikan mereka dari segi politik, itu terpulang kepada mereka.
“Tapi seruan penyatuan ummah itu kita akan teruskan. Bukan salah kita kerjasama itu tak jadi. Hasrat kita nak buat apa yang Tuhan suruh. Soal berjaya atau tidak, itu bukan kerja kita,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Mohd Asri Mat Daud berkata, PAS konsisten menggerakkan usaha MN bersama Umno dan ia bukan usaha yang bersifat bermusim.
“Usaha Muafakat Nasional sememangnya terus ditumpu oleh PAS. Ia telah, sedang, dan akan terus digerakkan. Tidak pernah senyap.
“Usaha ‘payung besar’ Tun Mahathir itu baru sahaja. Asalkan wadah untuk penyatuan ummah, kita sokong.
“Tapi jalan Muafakat Nasional telah terbentang luas bersama Umno untuk diteruskan,” katanya. – 15 Jun, 2025

