HEADLINES

Malaysia sokong hak Iran pertahan kedaulatan selepas serangan Israel: Anwar

PM berkata Iran berhak untuk menyerang balas, mengkritik negara Islam kerana berdiam selain mengecam sifat hipokrit barat

5:03 PM MYT

 

LUMUT — Malaysia menzahirkan solidariti dengan Iran susulan serangan Israel baru-baru ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, sambil menegaskan bahawa republik Islam itu berhak mempertahankan diri daripada pencerobohan.

Anwar mengecam tindakan Israel, termasuk pembunuhan saintis nuklear Iran dan pegawai tinggi tentera, selain turut mengkritik negara-negara Islam kaya kerana berdiam diri dalam menghadapi serangan sedemikian.

“Sebab itu saya beritahu kawan-kawan saya dalam Jemaah Menteri, Malaysia ini biarlah ada keupayaan. Kita negara merdeka, kita berdaulat dan kita mesti pertahankan hak sahabat-sahabat kita termasuk Iran yang telah dizalimi, dan kita pertahankan hak Iran untuk serang balas mempertahankan maruah negara mereka,” katanya dalam ucapan pada majlis penutup Program Madani Rakyat di Lumut Waterfront.

Sambil mengakui perbezaan ideologi dan politik antara Malaysia dan Iran, Anwar berkata beliau bersimpati dengan republik itu, yang telah berdepan dengan sekatan ekonomi dari Barat selama bertahun-tahun namun kekal berdaya tahan.

Beliau memuji kemajuan Iran dalam penyelidikan dan pendidikan saintifik, walaupun kekurangan pelaburan langsung asing — terutamanya daripada firma teknologi global, tidak seperti Malaysia.

“Tiada syarikat telah (melabur di Iran), namun berupaya membangunkan misil anti-ballistic yang boleh sampai ke Tel Aviv untuk serangan balas (terhadap Israel),” katanya.

Anwar juga mengkritik sikap double standard kuasa barat yang mengutuk Iran kerana melancarkan serangan balas terhadap Israel tetapi berdiam diri apabila Israel menyerang terlebih dahulu.

“Alhamdulillah, kepimpinan kerajaan Madani kekal teguh dengan prinsip mempertahankan hak semua negara,” tegasnya.

Dua hari lalu, Israel melakukan beberapa serangan udara ke atas Iran, menyasarkan infrastruktur nuklear dan tenaganya. Serangan itu dilaporkan membunuh Hossein Salami, komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), bersama beberapa pegawai tertinggi tentera, saintis nuklear, dan orang awam, termasuk kanak-kanak.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan beberapa siri serangan peluru berpandu ke atas sasaran di seluruh Israel, termasuk kawasan berhampiran Haifa dan Tel Aviv, membunuh sekurang-kurangnya 10 orang, menurut Al Jazeera.

Berikutan pergeseran itu, Kementerian Luar Malaysia mengeluarkan nasihat perjalanan untuk rakyat Malaysia di Iran, Iraq dan Jordan.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu—melalui kedutaannya di Tehran, Baghdad dan Amman—berkata ia memantau dengan teliti situasi itu dan menggesa rakyat Malaysia di wilayah yang terjejas supaya terus berwaspada dan mengambil semua langkah berjaga-jaga yang perlu. – 15 Jun 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Feathers ruffled over hornbill flap – Joseph Masilamany

Why getting Sarawak’s state bird right matters more than you think 

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Related