KUALA LUMPUR – Dua lelaki maut selepas dipercayai ditembak sekumpulan individu di luar pekarangan sebuah kompleks beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, awal pagi tadi.
Difahamkan kejadian berlaku kira-kira jam 12.15 tengah malam ketika kedua-dua mangsa dilaporkan sedang menuju ke arah kereta yang diparkir di perkarangan pusat beli-belah berkenaan.
Berdasarkan saksi kejadian, sekumpulan lelaki yang memakai topi keledar secara tiba-tiba berlari ke arah kedua-dua mangsa.
“Suspek kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa sehingga kedua-dua mereka terbaring berlumuran darah,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Menurut saksi, kumpulan lelaki terbabit kemudiannya melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Perodua Alza.
Difahamkan insiden itu dirakam kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan yang memaparkan beberapa das tembakan dilepaskan oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang kini tular di laman media sosial.
Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Ridzuan Khalid yang mengesahkan kejadian berkata, kenyataan media akan dikeluarkan.
Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti mangsa dan suspek dan motif kejadian.
Jumaat lalu, seorang maut manakala dua lagi cedera dalam kejadian tembakan ketika sedang makan di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, dalam kejadian pada 10.50 malam.
Ketua polis Brickfields, Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, ketika kejadian, ketiga-tiga lelaki tempatan yang berusia antara 30 hingga 50 tahun, sedang makan bersama rakan-rakan apabila dihampiri dua lelaki menaiki motosikal yang melepaskan beberapa das tembakan ke arah mereka.
“Seorang daripada mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tembakan dan mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat,” katanya. – 17 Jun, 2025
