HEADLINES

BNM, institusi kewangan perlu bantu kerajaan perjelas langkah-langkah fiskal: PM

Kerjasama itu penting bagi memastikan maklumat tepat dan seimbang serta membantu rakyat memahami dengan sebaiknya

3:40 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi kewangan di negara ini digesa untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam meningkatkan pemahaman orang ramai tentang langkah-langkah fiskal yang sedang dilaksanakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama sebegini penting bagi memastikan maklumat tepat dan seimbang sampai kepada rakyat, terutamanya di tengah-tengah usaha pihak tertentu untuk mempolitikkan dasar ekonomi dan mempengaruhi persepsi orang ramai.

“Sebagai contoh, rasionalisasi subsidi, (pembangkang akan kata) negara ini sangat miskin, mereka (kerajaan) menindas rakyat, itu naratif yang anda dapati dalam media sosial. Tetapi program rasionalisasi subsidi RON95 perlu dilaksanakan.

“Jadi ia perlu dijelaskan, dihuraikan dengan baik. Bantu rakyat memahami dengan sebaiknya. Mustahak untuk memastikan bukan sahaja program itu dianggap sebagai dasar yang berkesan atau kukuh, malah dilaksanakan secara berkesan dan difahami oleh majoriti rakyat,” kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian menerusi ucaptama beliau pada Simposium SASANA 2025 di Bank Negara Malaysia, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata tidak semua langkah fiskal diperkenalkan kerajaan seperti pelarasan subsidi dan reformasi sistem percukaian adalah satu keputusan popular.

Justeru, katanya, BNM dan institusi perbankan harus memainkan peranan mereka bukan sahaja mendukung perubahan struktur atau anjakan paradigma, tetapi memberi kefahaman kepada masyarakat.

Anwar menerusi ucapannya turut memuji penganjuran Simposium SASANA oleh BNM dan menyifatkannya sebagai satu inisiatif penting menghimpunkan golongan intelek, kerajaan, pemain industri dan ahli akademik untuk melakar hala tuju bagi pembaharuan struktur Malaysia yang berdaya tahan.

Semalam, Perdana Menteri berkata kerajaan komited untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi petrol RON95 dan menegaskan bahawa ia tidak akan menjejaskan 85 hingga 90 peratus daripada penduduk negara. – 17 Jun, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Related