HEADLINES

‘Ke arah mana kuasa mufti, institusi fatwa jika setiap keputusan boleh dicabar’ : Pemuda PAS Selangor

Adakah mahkamah sivil akan menjadi penentu akhir dalam perkara yang bersifat akidah umat Islam, soal Ketua Pemuda PAS Selangor

1:25 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan fatwa terhadap SIS Forum Malaysia merupakan satu isyarat jelas bagaimana kedudukan autoriti agama Islam di negara ini semakin dicabar, kata Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar.

Menurutnya, ia sangat membimbangkan apabila fatwa itu dibatalkan bukan atas alasan kebenaran hujah agama tetapi atas tafsiran perundangan sivil terhadap siapa yang terikat dengan fatwa.

Beliau turut membangkitkan beberapa persoalan susulan keputusan berkenaan iaitu adakah selepas ini fatwa hanya akan sah ke atas individu, bukan entiti atau organisasi.

Selain itu, katanya, adakah mahkamah sivil akan menjadi penentu akhir dalam perkara yang bersifat akidah umat?

“Ke arah mana arah kuasa mufti dan institusi fatwa jika setiap keputusannya boleh dicabar atas nama prosedur teknikal?

“Islam bukan hanya urusan peribadi. Ia ada dimensi sosial dan negara.

“Apabila pihak yang diketahui membawa pemikiran liberal dan relativis dalam agama dibela atas nama teknikal perundangan, kita tidak harus berdiam diri. Ini bukan soal SIS semata-mata. Ini soal kedudukan Islam sebagai agama negara dan maruah institusi fatwa yang makin dicabar,’’ katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan SIS Forum (Malaysia) dan pengasas bersamanya Zainah Mahfoozah Anwar, dalam tindakan mereka yang mencabar fatwa dikeluarkan pada 2014 oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu menyeleweng daripada ajaran Islam.

Panel empat hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 3-1 megetepikan fatwa berkenaan, sejauh mana ia terpakai kepada syarikat dan institusi.

Tengku Maimun berkata istilah “orang yang menganut agama Islam” dalam Perlembagaan Persekutuan merujuk secara eksklusif kepada orang semula jadi dan bukan entiti buatan seperti syarikat atau pertubuhan.

Mengulas lanjut, Sukri berkata, pihaknya tetap akan mempertahankan autoriti agama dan institusi mufti kerana Islam bukan sekadar agama ritual peribadi yang boleh disuai padan dengan kehendak semasa.

“Fatwa 2014 bukan dikeluarkan secara semberono. Ia diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor berdasarkan penelitian terhadap pandangan dan pendirian SIS yang dilihat bercanggah dengan prinsip-prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Jangan sampai satu demi satu institusi agama kita dinyahkan dengan alasan prosedur undang-undang,’’ katanya. – 19 Jun, 2025

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

China break up Olympic champions to groom future stars

Olympic gold medallist Jia Yi Fan now partners Zhang Shu Xian in a bold move to mentor rising talent, as China strengthen their grip on women’s doubles badminton

FAM dismisses talk of Nacho Mendez joining Harimau Malaya

FAM says it is not pursuing any process involving Mendez and has dismissed speculation linking the Spanish-born player to Harimau Malaya

Related