HEADLINES

ACCCIM gesa tangguh peluasan SST ke Januari 2026, cadang 4% bagi tempoh 2 tahun

Menurut ACCCIM, pengurangan SST sebanyak empat peratus itu adalah untuk dua tahun pertama iaitu 2026 - 2027, bertujuan mengurangkan beban cukai ke atas perniagaan dan pengguna

5:39 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diperluaskan mulai 1 Julai ini digesa ditangguhkan kepada Januari 2026 dengan kadar empat peratus dalam tempoh dua tahun pertama (2026–2027), kata Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM).

Menurut ACCCIM dalam satu kenyataan, cadangan kadar yang lebih rendah itu adalah bagi meringankan beban cukai terhadap perniagaan dan pengguna.

Selain itu, katanya, ia bagi membolehkan persediaan yang lebih panjang memandangkan beberapa perkara masih memerlukan penjelasan lanjut.

ACCCIM memberitahu, SST yang diperluas tersebut meliputi perkhidmatan tambahan (pusat kesejahteraan, kewangan dan penjagaan kesihatan) serta tiga perkhidmatan baharu (penyewaan atau pajakan, kerja-kerja pembinaan, dan pendidikan).

“Persediaan yang mencukupi adalah penting bagi memastikan pematuhan yang lebih baik dan pelaksanaan yang lancar.

“ACCCIM turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan pelbagai kos yang berlaku dalam persekitaran ekonomi global dan domestik yang mencabar, yang diburukkan lagi oleh ketidaktentuan dasar tarif perdagangan dan konflik berterusan di Timur Tengah.

“Kesan kenaikan kos yang telah dirasai pada tahun 2025 dijangka akan berterusan atau mempengaruhi landskap perniagaan dan ekonomi pada tahun 2026,” tambahnya.

Semalam, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan peluasan skop Cukai Perkhidmatan bagi perkhidmatan kecantikan seperti rawatan kuku, rawatan wajah serta khidmat gunting rambut dan pendandan rambut selepas meneliti sentimen awam.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), kerajaan juga tidak mengenakan Cukai Jualan ke atas barangan keperluan harian bagi meringankan tekanan kos sara hidup rakyat terbanyak.

Bagi mengurangkan bilangan perniagaan kecil yang terkesan akibat peluasan skop Cukai Perkhidmatan, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan juga telah memutuskan untuk menaikkan had nilai ambang pendaftaran bagi perkhidmatan Pajakan atau Sewaan serta Perkhidmatan Kewangan daripada RM500,000 kepada RM1 juta.

Ini bermakna hanya perniagaan yang mencatat jualan tahunan melebihi RM1 juta akan dikenakan Cukai Perkhidmatan atas perkhidmatan sewaan atau pajakan untuk membolehkan lebih banyak Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menikmati manfaat pengecualian cukai.

Sementara itu, ACCCIM menggesa kerajaan menaikkan ambang pendaftaran cukai perkhidmatan bagi pajakan atau sewaan, serta perkhidmatan pembinaan, daripada RM1 juta kepada RM3 juta.

Ia juga menggesa kerajaan menaikkan ambang pengecualian cukai untuk penyewa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada RM2 juta dalam jualan tahunan, berbanding RM1 juta yang diumumkan pada Khamis.

“Kami juga mencadangkan tempoh pengecualian yang lebih panjang selama 36 bulan bagi kontrak yang boleh dikaji semula dan tidak boleh dikaji semula, untuk meliputi semua jenis projek memandangkan sifat dan kitaran projek-projek tersebut,” katanya.

ACCCIM berkata ia akan terus berhubung dengan ahli-ahlinya serta pihak berkepentingan industri untuk memberikan maklum balas dan cadangan yang membina kepada kerajaan bagi mengurangkan kesan SST terhadap perniagaan dan isi rumah. – 28 Jun, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Malaysian teen made RM76,000 selling child porn as police bust major online abuse ring

Authorities arrest 31 suspects, including six minors and a religious teacher, in nationwide Op Pedo 2.0 raids that uncovered 880,000 exploitative files

Port Klang breaks into world’s top 10 busiest ports with 4.1% growth

Malaysia’s largest port overtakes Hong Kong as container volumes climb to 14.64 million TEUs in 2024

Related