KUALA LUMPUR – Tindakan menyekat atau menurunkan sesuatu kandungan ataupun akaun media sosial hanya boleh dilaksanakan oleh penyedia platform itu sendiri, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Kerajaan, kata beliau, tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan penyedia platform media sosial untuk mengambil sebarang tindakan kerana ia hanya dilakukan sekiranya kandungan atau akaun itu telah melanggar undang-undang.
“Bila satu-satu kandungan ataupun akaun itu diturunkan atau disekat, ia bermaksud platform akur dengan undang-undang yang sedia ada dan mereka percaya bahawa kandungan itu telah melanggar undang-undang,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Ismail Yusop dan Ahli Parlimen Batu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) P. Prabakaran.
Pada sidang media itu juga, Fahmi memberitahu platform media sosial Telegram dijangka hadir ke Kuala Lumpur minggu ini bagi mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi melibatkan pelbagai isu keselamatan siber.
Perbincangan itu, katanya termasuk mengenai perjudian atas talian, penipuan (scam), penyebaran bahan lucah serta pelanggaran hak cipta yang dikesan berleluasa dalam aplikasi itu.
Ia juga, ujar beliau, adalah bagi mencari penyelesaian terhadap isu penyalahgunaan platform oleh penjenayah siber yang semakin membimbangkan.
Turut dibangkitkan ialah penjualan bahan pornografi serta tayangan filem dan episod rancangan televisyen tanpa kebenaran turut menjadi antara isu utama yang dibangkitkan.
Dalam pada itu, Fahmi turut memberitahu, sebanyak 173,642 kandungan diturunkan penyedia platform media sosial sejak 1 Januari hingga semalam, lebih separuh daripadanya judi dalam talian.
Platform Facebook dikenal pasti paling banyak memaparkan iklan perjudian dalam talian dan penipuan dalam talian atau scam, selain TikTok sebagai antara penyumbang tertinggi manakala platform paling lemah dalam menguruskan isu scam ialah Telegram.
“Daripada jumlah kandungan yang diminta diturunkan di Telegram, separuh daripadanya ialah berkaitan penipuan, tetapi platform itu tidak menurunkan semuanya. Jadi, kita perlu ambil keputusan yang tegas terhadap platform-platform ini.
“Telegram memaklumkan, walaupun mereka mempunyai hampir satu bilion pengguna di seluruh dunia, jumlah pekerja mereka hanya sekitar 50 orang sahaja. Jadi, banyak perkara mereka kendalikan secara automatik atau menggunakan sistem kecerdasan buatan (AI).
“Tetapi undang-undang berbeza di setiap negara. Contohnya di Malaysia, judi dalam talian tidak dibenarkan.
“Tapi mungkin di Vietnam atau beberapa negara lain, ia dibenarkan. Jadi di situlah kita lihat perlu ada perbincangan lanjut tentang pelaksanaan dan pematuhan platform Telegram terhadap undang-undang Malaysia,’’ katanya.
Pada 19 Jun lalu, MCMC buat pertama kalinya memfailkan tindakan sivil terhadap Telegram berikutan kandungan dua saluran di platform media sosial terbabit, Edisi Siasat dan Edisi Khas yang dikenal pasti berpotensi menghakis kepercayaan terhadap institusi awam serta menjejaskan ketenteraman.
Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan berkata, ia susulan kegagalan serius Telegram mengekang kandungan yang berulang kali dilaporkan kepada pihak mereka walaupun pelbagai usaha rundingan dan kerjasama telah dilakukan.
Sementara itu, NANBA merupakan program diilhamkan daripada perkataan Tamil bermaksud ‘kawan’ yang melambangkan komitmen Kerajaan Madani untuk memperkukuh hubungan erat bersama komuniti India khususnya kalangan belia, serta memperluas penyampaian maklumat kerajaan secara inklusif dan berkesan.
Program ini turut menjadi platform komunikasi dua hala efektif dalam memperkasa akses masyarakat kepada maklumat berkaitan dasar, inisiatif serta pelbagai peluang yang ditawarkan oleh kerajaan. – 28 Jun, 2025
