HEADLINES

Tiada campur tangan dalam urusan kehakiman: PM

Kenyataan Anwar berhubung urusan pelantikan badan kehakiman itu berkemungkinan merujuk isu Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sama ada disambung kontrak atau bersara

11:55 AM MYT

 

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak mencampuri urusan badan kehakiman, termasuk soal berhubung pelantikan hakim mahupun sebarang keputusan mahkamah.

Perdana Menteri berkata semua pelantikan dan penyambungan jawatan atau lanjutan perkhidmatan, termasuk hakim, perlu mengikut prosedur seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau sudah faham Perlembagaan, sudah tahu proses dia. Ada suruhanjayanya, ada Perdana Menterinya, ada Yang di-Pertuan Agong.

“Kalau tengok – pelantikan-pelantikan baharu, (senarai calon diserahkan kepada) Yang di-Pertuan Agong kemudian dibentangkan untuk perbincangan dengan Majlis Raja-Raja. Jadi semua hal itu harus diikuti,” katanya pada perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Beliau berkata sebarang pelantikan atau penyambungan jawatan yang dilakukan atas desakan kumpulan tertentu akan mencemari integriti institusi kehakiman.

“Saya rasa apabila institusi seperti ini dipolitikkan, keputusan yang dibuat mencerminkan seolah-olah berlaku pengkhianatan,” katanya lapor Bernama.

Sementara itu Anwar berkata sebarang keputusan badan kehakiman adalah hak mutlak mereka, dan beliau tidak pernah terlibat dalam sebarang keputusan kehakiman.

“Isu yang dibangkitkan saya dengar… Saya tidak pernah campur dalam isu penghakiman. Apa yang diputuskan (mahkamah) itu keputusan mereka, tetapi itu pun dipolitikkan,” katanya.

Anwar turut menegur kecenderungan masyarakat untuk menilai keputusan kehakiman mengikut kecenderungan politik masing-masing.

Beliau merujuk kepada beberapa kes berprofil tinggi baru-baru ini, termasuk keputusan berhubung kes Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita kena hormat hakim dan keputusan yang dibuat. Saya tengok ada pandangan berbeza. Ada orang sokong DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) di sini, tetapi tidak sokong di sana (bagi kes berlainan).

“Kita tidak boleh  begitu. Jadi harus ingat kita kena pertahankan (integriti badan kehakiman), bukan ikut selera politik,” katanya.

Pada 20 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) bekas Najib daripada tiga pertuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta.

Hakim K.Muniandy membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk melepas tanpa membebaskan Najib selepas mendapati pihak pendakwaan belum bersedia meneruskan perbicaraan yang tertangguh sejak 2019. 

Pada 25 Jun pula, Mahkamah Rayuan Putrajaya membebas dan melepaskan  Syed Saddiq daripada empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah (CBT), salah guna harta serta pengubahan wang haram melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Nov 2023.

Kenyataan Anwar berhubung urusan pelantikan badan kehakiman itu berkemungkinan merujuk isu Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sama ada disambung kontrak atau bersara pada usia persaraan wajib hakim, iaitu 66 tahun, pada Selasa ini.

Dalam pada itu semalam, bekas timbalan menteri undang-undang Ramkarpal Singh dalam kenyataan turut menggesa agar tempoh perkhidmatan Tengku Maimun dan Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, dilanjutkan.

Abang Iskandar akan mencapai umur persaraan pada Rabu manakala Nalini pula akan mencapai usia 66 tahun pada 22 Ogos ini.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, hakim yang telah bersara boleh terus berkhidmat selama enam bulan lagi dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong. – 30 Jun, 2025

Topics

 

Hangat

[TONTON] Urus zakat secara audit bebas, profesional atasi ‘loopholes’: MCW

Jais Abdul Karim menegaskan kutipan zakat dan derma awam perlu diaudit secara profesional, dengan garis panduan jelas agar dana tidak disalahguna sambil mengingatkan, amil berhak menerima bahagian secukupnya — bukan bermewah — kerana ini ibadah, bukan perniagaan

Insiden FSO Sepat: Petronas sahkan tiga pekerja kontraktor maut, seorang parah bot jatuh dari pelantar

Proses bedah siasat terhadap tiga pekerja kontraktor yang maut akan dijalankan pada jam 8.30 pagi ini, manakala mangsa yang cedera parah masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)

Mesyuarat khas bincang PRN Johor ditetapkan 12 Jun: SPR

Mesyuarat berkenaan akan membincangkan tarikh penting seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon dan hari pengundian

Related