HEADLINES

Gelombang peletakan jawatan tidak bubar bahagian, sayap PKR: Fuziah

Setiausaha Agung PKR berkata, perlembagaan parti dengan jelas menggariskan sekurang-kurangnya dua pertiga ahli jawatankuasa perlu meletak jawatan untuk ia dibubarkan

8:13 AM MYT

 

PETALING JAYA – Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh, mengesahkan bahawa tiada satu pun bahagian, sayap Pemuda atau Wanita parti itu dibubarkan, meskipun terdapat rentetan peletakan jawatan di peringkat akar umbi baru-baru ini.

Beliau berkata jumlah peletakan jawatan semasa tidak mencapai ambang perlembagaan untuk pembubaran, yang memerlukan sekurang-kurangnya dua pertiga ahli jawatankuasa mengundur diri.

Tambahnya, jumlah sebenar bergantung kepada saiz setiap cawangan.

“Perlembagaan parti dengan jelas menggariskan syarat-syaratnya, dan melainkan jika syarat-syarat itu dipenuhi, struktur itu kekal utuh,” katanya memetik laporan FMT.

Merujuk cawangan Lenggong sebagai contoh, beliau berkata 15 daripada 31 ahli jawatankuasa bahagian itu telah meletak jawatan.

“Seramai 21 orang (ahli) perlu meletak jawatan untuk cawangan itu dibubarkan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Ahmad Nizam Noh, yang tewas dalam pemilihan jawatan ketua cawangan, telah membuat aduan kepada Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS), meskipun kebanyakan pasukannya memenangi jawatan ahli jawatankuasa. Sebagai tanda protes, semua 15 ahli daripada pihaknya melepaskan jawatan.

Perkara sama berlaku di Selayang, di mana beberapa pemimpin Pemuda meletak jawatan selepas sekutu mereka tewas dalam pemilihan bahagian baru-baru ini.

Jelas Fuziah, walaupun parti memandang serius semua peletakan jawatan, ahli-ahli harus menggunakan saluran dalaman untuk menyelesaikan segala pertikaian.

“Mungkin ada pihak yang cuba mengganggu atau memburuk-burukkan parti dari dalam atau luar, tetapi kami kekal fokus,” telahnya.

Apapun katanya, kepimpinan parti sedang memantau perkembangan semasa dan kekal komited untuk memelihara disiplin serta kestabilan parti. – 4 Julai, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

National football legend, Olympian Rahim Abdullah dies at 77

The former police officer turned national player and coach will be laid to rest at Kota Damansara Muslim Cemetery today

Related