HEADLINES

Kumpulan militan warga Bangladesh kumpul dana salur pada IS, rekrut ahli menerusi Whatsapp, Telegram

Mereka mempunyai seramai 100 hingga 150 ahli terdiri daripada warga Bangladesh yang bekerja dalam sektor buruh seperti kilang, pembinaan dan stesen minyak di negara ini

12:11 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kumpulan militan yang didalangi warga Bangladesh dan ditahan baru-baru ini, dipercayai terlibat dalam kegiatan pengumpulan dana serta merekrut ahli bagi menyokong kumpulan militan Islamic State (IS) di Syria dan Bangladesh.

Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, siasatan awal yang dijalankan mendapati mereka mengutip dana menerusi yuran keahlian tahunan sebanyak RM500 seorang serta menerima sumbangan tambahan, bergantung kepada kemampuan ahli.

Proses merekrut ahli, katanya dilakukan melalaui platform media sosial serta aplikasi pesanan seperti WhatsApp dan Telegram.

Kumpulan itu, katanya mempunyai keahlian dianggarkan antara 100 hingga 150 individu yang terdiri daripada warga Bangladesh yang bekerja dalam sektor buruh seperti kilang, pembinaan dan stesen minyak di negara ini.

“Wang yang dikumpulkan itu, disalurkan ke luar negara menggunakan aplikasi e-dompet serta perkhidmatan penghantaran wang antarabangsa,’’ katanya, lapor Bernama.

Beliau juga memberitahu, polis masih menjalankan siasatan berhubung jumlah dana yang telah disalurkan kepada kumpulan IS di Syria dan Bangladesh setakat ini.

Mengulas lanjut mengenai penggunaan media sosial untuk tujuan perekrutan, beliau berkata aplikasi itu turut digunakan kumpulan berkenaan untuk menyebarkan propaganda, melaksanakan proses baiah (sumpah setia), serta menyusun aktiviti rahsia termasuk pengajian agama dan perjumpaan ahli.

Katanya, individu yang melafazkan baiah secara dalam talian akan dilantik sebagai ketua sel bagi memperluas pengaruh kumpulan, manakala proses pengambilan ahli dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan saringan keahlian sehingga pembentukan kelompok elit.

Namun begitu, Mohd Khalid menegaskan bahawa siasatan setakat ini mendapati tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam gerakan tersebut, yang dikenal pasti aktif sejak setahun lalu.

Beliau berkata siasatan turut mendapati kumpulan itu tidak menyasarkan Malaysia sebagai lokasi serangan, sebaliknya hanya menggunakan negara ini sebagai tempat pengumpulan dana dan perekrutan ahli.

Bagaimanapun, siasatan lanjut akan diteruskan dengan kerjasama pihak berkuasa Bangladesh dan Interpol.

Menurut Mohd Khalid pihaknya mengesan kegiatan kumpulan itu menerusi akaun media sosial menggunakan alamat internet Malaysia, aktif menyebarkan fahaman IS dan dikendalikan oleh rakyat Banglades.

Susulan pengesanan itu, polis melancarkan operasi bersepadu bagi menahan ahli kumpulan berkenaan.

“Dalam fasa pertama operasi pada 28 April, seramai enam individu ditahan di sekitar Selangor dan hasil penahanan itu mendedahkan struktur kumpulan yang berpangkalan di Johor.

“Fasa kedua pada 7 Mei, menyaksikan polis meneruskan operasi di Johor dan berjaya menahan 14 individu, termasuk ketua kumpulan itu.

“Manakala fasa ketiga dijalankan dari 19 hingga 21 Jun, melibatkan penahanan 16 lagi individu, sekali gus menutup rangkaian utama kumpulan yang beroperasi di negara ini,” katanya.

Mohd Khalid berkata secara keseluruhan seramai 36 individu berusia antara 25 hingga 35 tahun ditahan. Daripada jumlah itu, lima suspek telah didakwa di bawah Seksyen 6A Kanun Keseksaan, manakala 16 lagi masih ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi siasatan dan proses pendakwaan lanjut.

Beliau berkata baki individu yang didapati hanya terlibat secara minimum dalam kegiatan tersebut akan dihantar pulang ke negara asal.

Mengulas mengenai tindakan membanteras kumpulan militan itu, Mohd Khalid menegaskan keselamatan negara adalah keutamaan utama PDRM dan pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk ancaman keganasan demi melindungi rakyat dan negara.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar lebih peka terhadap persekitaran dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa,” katanya. – 4 Julai, 2025


Topics

 

Hangat

[TONTON] Urus zakat secara audit bebas, profesional atasi ‘loopholes’: MCW

Jais Abdul Karim menegaskan kutipan zakat dan derma awam perlu diaudit secara profesional, dengan garis panduan jelas agar dana tidak disalahguna sambil mengingatkan, amil berhak menerima bahagian secukupnya — bukan bermewah — kerana ini ibadah, bukan perniagaan

Insiden FSO Sepat: Petronas sahkan tiga pekerja kontraktor maut, seorang parah bot jatuh dari pelantar

Proses bedah siasat terhadap tiga pekerja kontraktor yang maut akan dijalankan pada jam 8.30 pagi ini, manakala mangsa yang cedera parah masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)

Five more suspects arrested in RM4.6 mil Genting casino chip heist

Police have tracked down five local men, including the mastermind of the RM4.6 million casino chips heist at Genting Highlands on October 28, believed to be the largest chips robbery in the highland resort’s history.

Related