HEADLINES

Letupan Putra Heights: Azmin bangkitkan isu sokongan Kusel, kontraktor disiasat CIDB

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempersoalkan laporan JKKP gagal memberikan jawapan dalam banyak isu yang kritikal

6:04 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor berdepan kritikan hebat selepas didakwa tidak menyertakan maklumat penting dalam laporan rasminya berkenaan letupan paip gas di Putra Heights, April lalu.

Ia termasuk dakwaan kerja-kerja penggalian diteruskan selepas permit dikeluarkan pihak berkuasa tempatan tamat serta penglibatan agensi berkaitan kerajaan negeri, iaitu Koridor Utiliti Selangor (Kusel).

Dalam perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semalam dan melalui hantaran di Facebooknya, Ketua Pembangkang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mempersoalkan mengapa laporan tersebut langsung tidak menyebut tentang kerja-kerja penggantian pembetung yang dijalankan mulai 27 Mac lalu, walaupun permit yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) hanya meliputi tempoh dari 8 Oktober 2024 hingga 8 Januari 2025.

Beliau berkata dokumen menunjukkan pemaju, Hong & Hong Homes Sdn Bhd, telah menghantar permohonan kepada Indah Water Konsortium (IWK) pada April 2024 untuk menjalankan kerja-kerja pembetung, yang kemudiannya disokong oleh Kusel dan diserahkan kepada MBSJ pada September.

MBSJ kemudiannya meluluskan permit selama tiga bulan, namun aktiviti penggalian termasuk kerja pengorekan lubang percubaan di atas saluran paip gas Petronas tetap dijalankan lebih dua bulan selepas permit tamat.

“Bagaimana kerja-kerja ini dibenarkan diteruskan selepas permit tamat? Mengapa tiada tindakan diambil? Dan mengapa perkara ini langsung tidak disebut dalam laporan?” soal Azmin.

Kusel, yang beroperasi di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), berfungsi sebagai agensi sehenti bagi merancang dan menyelaras koridor utiliti.

Azmin juga mempersoalkan sama ada agensi itu telah gagal dalam tanggungjawabnya dengan memudahkan permohonan permit walaupun permit telah tamat, serta menyokong kontraktor yang dilaporkan sedang disiasat oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Beliau turut mengkritik laporan tersebut kerana tidak menyentuh langsung tentang kehadiran jentera berat.

“Siapa yang membawa jengkaut ke tapak? Syarikat mana yang bertanggungjawab? Tiada sebarang maklumat tentang ini dalam laporan,” katanya.

Azmin turut menyatakan bahawa penduduk telah pun membuat aduan sebelum letupan berlaku, disertakan dengan gambar dan video yang menunjukkan kehadiran jentera di lokasi.

“Pada hari kejadian, Menteri Besar berkata tidak nampak sebarang jengkaut. Tetapi kemudian, Ketua Polis Selangor sahkan jengkaut telah tertimbus di tapak kejadian. Menteri besar kemudian kata kami memutar belit kenyataannya. Jadi kenapa perkara ini tidak disebut dalam laporan?” soalnya lagi.

Pada Ahad, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerja-kerja penggalian bukanlah punca letupan dan kerja-kerja tersebut juga tidak menyebabkan kerosakan pada saluran paip gas.

Merujuk kepada hasil siasatan polis, Jabatan Mineral dan Geosains, serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Amirudin berkata tiada bukti yang mengaitkan kerja tanah dengan letupan atau kebakaran yang berlaku selepas itu.

Beliau turut menolak dakwaan terdapat pembinaan tanpa kebenaran berhampiran rizab paip gas Petronas, dengan menyatakan pemaju telah mendapat kelulusan yang diperlukan dan mematuhi semua keperluan keselamatan Petronas sebelum kerja-kerja bermula pada 20 Mac.

Berkenaan kebimbangan MBSJ gagal menguatkuasakan jarak penampan minimum, Amirudin menjelaskan zon penampan yang ditetapkan oleh PGB adalah sebanyak 60 kaki, namun di kawasan Putra Heights, zon penampan adalah sebanyak 66 kaki.

Sementara Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Husdin Che Amat berkata, siasatan menyeluruh selama hampir tiga bulan mendapati kegagalan struktur paip berlaku apabila bahagian bawah paip tidak disokong sepenuhnya oleh tanah.

Laporan akhir yang dikeluarkan pada 30 Jun menyimpulkan letupan berlaku akibat pergerakan tanah yang menyebabkan saluran paip gas Petronas bergerak sebanyak 15.9 cm.

Pihak berkuasa menolak unsur sabotaj atau kecuaian dan menyatakan insiden berpunca daripada ketidakstabilan tanah jangka panjang akibat tanah lembap.

Namun, Azmin mempersoalkan mengapa laporan tersebut tidak menilai sama ada kelewatan dalam kerja pembinaan mungkin menyumbang kepada kelemahan atau ketidakstabilan tanah.

“Ini bukan insiden kecil, ia menjejaskan 112 mangsa dan lebih 500 rumah. Trauma itu masih dirasai. Tetapi respons kerajaan negeri tidak telus dan hanya menjejaskan keyakinan rakyat,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa bebas dan membentangkan Kertas Putih dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri bagi menyiasat sepenuhnya insiden ini, termasuk peranan Kusel, MBSJ, dan kontraktor yang dilantik. – 9 Julai 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Related