KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita aset berjumlah lebih RM183 juta menerusi serbuan yang dilakukan ke atas sindiket penyeludupan besi di lima negeri bermula semalam.
Menurut sumber, dalam Op Metal itu, sebanyak 45 akaun syarikat dan 82 akan perbankan milik individu melibatkan nilai kira-kira RM51 juta dibekukan.
Aset yang disita itu, katanya, melibatkan lapan hartanah di Pulau Pinang iaitu tiga unit banglo di Batu Maung, satu unit Penthouse di Tanjung Tokong dan satu unit lot kedai di Bayan Lepas.
Ia termasuk 31 ekar tanah di Nibong Tebal; 7.1 ekar tanah di Batu Uban; 5.6 ekar tanah di Juru selain lebih 1,960 ekar tanah ladang sawit di Kuala Krai, Kelantan.
“SPRM turut menyita enam unit kereta mewah terdiri daripada model Porsche Cayenne, Range Rover, BMW, Volvo, Toyota Land Cruiser dan Toyota Alphard yang keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih RM1.9 juta.
“Selain itu SPRM juga menyita lima unit jam tangan berjenama Patek Phillippe, Tag Tag Heuer, Rolex, Omega Speedmaster dan Omega Seamaster dianggarkan bernilai lebih RM740,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pembekuan tersebut,
Susulan operasi semalam, beliau berkata, SPRM turut membuat penggeledahan di 13 lokasi baharu di Pulau Pinang, Kedah, Johor dan sekitar Lembah Klang hari ini.
“SPRM kini sedang mengenal pasti pihak yang bersekongkol dengan sindiket ini yang menyeludup keluar besi serta bahan buangan e-waste di Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai dianggarkan bernilai lebih RM950 juta sejak enam tahun lalu.
“Fokus siasatan menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 dan 18 Akta SPRM 2009 selain penyiasatan turut menganalisis dan mengenal pasti elemen kesalahan jenayah lain di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram,’’ katanya. – 15 Julai, 2025.
