HEADLINES

Jangan lupa titah YDP Agong: Sany Hamzan ingatkan pihak cuba ‘tebuk atap’

Ahli Parlimen Hulu Langat berkata tindakan itu disifatkan satu agenda ‘jahat’ pihak tertentu untuk terus mengganggu perpaduan dalam kalangan parti kerajaan

4:36 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pihak tertentu yang masih cuba memporak perandakan kestabilan negara termasuk menyebar spekulasi peralihan kuasa Perdana Menteri diingatkan supaya tidak lupa kepada kepada titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Februari lalu.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkata, tindakan itu disifatkan satu agenda ‘jahat’ pihak tertentu untuk terus mengganggu perpaduan dalam kalangan parti kerajaan.

“Sudah-sudahlah dengan usaha dan niat tidak baik itu untuk cuba menggoyahkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, nak cuba ulang kejadian ‘tebuk atap’, sebarkan perkara yang tak tahu punca dan hanya menakut-nakutkan pelabur.

“Pihak-pihak terdesak ini saya ingatkan jangan kita lupa kepada titah Yang di-Pertuan Agong yang bertitah baginda tak akan melayan sebarang permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat kestabilan politik negara.

“Jadi yang mana ada hasrat nak sebar berita khabar angin, timbulkan spekulasi dan isu yang mengarut berkait kerajaan mahupun perdana menteri, lupakanlah.

“Kerajaan yang ada hari ini bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal kukuh dan stabil, kita akan pastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus jadi keutamaan,” katanya kepada Scoop hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas spekulasi disebarkan mengenai peralihan kuasa Perdana Menteri.

Terdahulu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menolak spekulasi beliau adalah calon bagi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Johari, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, Kerajaan Perpaduan hari ini berada dalam keadaan aman dan stabil justeru ia tidak wajar diganggu.

Beliau turut menolak dakwaan menerima sokongan daripada Ahli Parlimen Umno untuk jawatan tersebut.

Sebelum ini nama beliau telah disebut-sebut oleh pemerhati politik dan disifatkan sebagai calon yang berpotensi untuk meneraju Putrajaya sekiranya berlaku peralihan kuasa.

Mengulas lanjut, Sany berkata, spekulasi yang disebar itu tidak masuk akal berikutan mustahil untuk pemimpin daripada Umno dengan kemenangan kerusi yang kecil untuk menjadi Perdana Menteri.

“Umno hanya menang lebih 20 kerusi sahaja, ikut mana pun mereka harus bekerjasama dengan parti lain, yang ada kerusi lebih besar

“Begitu juga bila pihak terbabit cuba mengaitkan nama Datuk Johari, di situ pun kita boleh tahu ini spekulasi ‘merapu’ kerana Umno masih ada Presiden parti.

“Tindakan ini juga tak jauh beza dengan cadangan tidak masuk akal daripada blok pembangkang yang sebelum ini menggesa agar Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil cuti dan seorang Perdana Menteri Interim dilantik untuk menjalankan tanggungjawab,” katanya.

Sebelum inj Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengingatkan bahawa baginda tidak akan melayan sebarang permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat kestabilan politik negara.

Dalam titah sulung selepas dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu, Sultan Ibrahim bertitah semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk. – 18 Julai, 2025

Topics

 

Hangat

Court orders MYAirline co-founder to repay over RM8mil to investors

Datuk Allan Goh and four associated companies are directed to return funds after failing to meet financial obligations to 15 investors

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Malaysia breaks 11-year losing streak against Vietnam with impressive 4-0 victory

The national team showed effective teamwork and fast-paced plays that kept their opponents under pressure

Related