KOTA BHARU – Serbuan polis terhadap perjumpaan makan-makan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di sebuah rumah banglo di Jalan Kemumin, di sini, baru-baru ini dilakukan berdasarkan bukti yang kukuh, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Menurut beliau, serbuan itu lakukan hasil risikan polis susulan aduan daripada pihak yang berkenaan mengenai aktiviti kumpulan itu sebelum ini.
“Selepas itu, pihak polis membuat risikan sebelum serbuan dilakukan jam 1.15 pagi dan mendapati ada 20 orang di dalam rumah itu.
“Kita melakukan serbuan untuk kebaikan semua pihak. Kita hanya nak mencegah amar makruf dan nahi mungkar,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH.
Beliau berkata, serbuan itu dilakukan demi menjaga keselamatan serta ketenteraman awam.
Mohd Yusoff berkata, operasi itu tidak ada kena mengena atau agenda untuk menjatuhkan kerajaan negeri atau reputasi Kelantan.
“Agenda saya jelas untuk keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini. Selain itu, ia termasuk sebagai kerja amar makruf dan nahi mungkar,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan beberapa pihak mendakwa kumpulan LGBT yang ditahan polis baru-baru ini bukannya berasal dari negeri itu dan datang dari negeri lain untuk memburukkan nama Kelantan.
Laporan itu menyebut perjumpaan makan-makan kumpulan LGBT di sebuah rumah banglo di Jalan Kemuming dipercayai disertai hampir 100 lelaki diserbu polis.
Serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat awam jam 1 pagi pada pertengahan bulan lalu itu turut membawa kepada rampasan ratusan kondom dan ubat HIV.
Difahamkan ketika serbuan dilakukan, puluhan lelaki sudah pulang dan hanya 20 berjaya ditahan. – 19 Julai, 2025
