HEADLINES

LKAN : Syarikat pemborong, peruncit jual minyak masak subsidi kepada pihak tidak layak

Ada syarikat pembungkus, pemborong dan peruncit menjual minyak masak bersubsidi kepada golongan yang tidak layak menerimanya

3:35 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 mendedahkan penjualan minyak masak bersubsidi kepada golongan tidak layak oleh syarikat pembungkus, pemborong dan peruncit sekali gus menjejaskan bekalan minyak masak bersubsidi untuk keperluan isi rumah di negara ini.

Laporan itu mengesyorkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menambah baik sistem edaran minyak masak bersubsidi kepada semua peringkat pengedar, pembekal dan penjual di seluruh negara.

Laporan itu memaklumkan, penemuan terbabit dikesan melalui lawatan audit ke beberapa premis di Kelantan, Terengganu dan Sarawak pada tahun lepas.

“Lawatan audit ke sebuah premis peruncit di Kelantan yang dimiliki oleh sebuah syarikat pada 23 Julai 2024 mendapati syarikat tersebut telah beroperasi sebagai kedai makan dan menyimpan sebanyak 204 kilogram (kg) atau 12 kotak minyak masak bersubsidi di premis terbabit.

“Bagi tahun 2024, syarikat itu didapati membeli sebanyak 11,390 kg minyak masak bersubsidi daripada lima syarikat pembungkus,” kata laporan audit itu hari ini.

Menurut laporan itu lagi, semak silang terhadap buku stok syarikat peruncit dengan salah sebuah syarikat pembungkus juga mendapati tiga transaksi belian sebanyak 561 kg berjumlah RM1,386 pada Januari dan Februari 2024 tidak direkodkan dalam buku stok peruncit.

Selain itu, laporan itu turut mendedahkan buku stok pemborong yang berlokasi di Kuala Terengganu bagi Januari 2023 hingga Jun 2024 menunjukkan berlaku penjualan minyak masak bersubsidi kepada tiga golongan tidak layak termasuklah sebuah restoran.

Bagaimanapun katanya, restoran terbabit menafikan premis itu pernah membeli minyak masak bersubsidi daripada pemborong tersebut.

Semakan lanjut terhadap buku stok pemborong itu bagi tempoh tahun 2023 dan 2024 mendapati 189 transaksi jualan minyak masak bersubsidi sebanyak 31,059kg berjumlah RM77,647.50 tidak mempunyai perincian nama pembeli tetapi butiran jualan dicatatkan sebagai ‘cash sale’,” ujarnya lagi.

LKAN memaklumkan, semakan audit pada 18 Julai 2024 terhadap rekod jualan syarikat pemborong di Miri, Sarawak pula mendapati 2,280kg minyak masak yang bernilai RM5,700 telah diedarkan secara percuma bagi tempoh April hingga Julai 2024 kepada individu yang tidak memiliki lesen yang sah.

“Berdasarkan temu bual, syarikat pemborong memaklumkan pengedaran secara percuma dibuat disebabkan individu tersebut mewakili persatuan penduduk atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sekitar Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, LKAN turut mendedahkan purata pengeluaran minyak masak bersubsidi di pasaran bagi tempoh 2019 hingga 2024 hanya mencapai 82.6 peratus daripada kuota siling bekalan ditetapkan.

“Penemuan audit mendapati subsidi minyak masak dikategorikan sebagai subsidi pukal yang diberikan kepada golongan sasar, namun golongan tidak layak termasuk bukan warganegara turut menikmati subsidi itu apabila mereka membeli barangan tersebut.

“Semakan audit mendapati dasar sedia ada tidak menetapkan syarat kelayakan terhadap pembelian minyak masak bersubsidi,” katanya.

LKAN turut memaklumkan, prosedur operasi standard (SOP) Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) berkuat kuasa 1 Oktober 2023 menjelaskan anggaran keperluan terkini penggunaan minyak masak rakyat Malaysia adalah 1.5kg sebulan bagi seorang penduduk.

Namun jelasnya, semakan audit mendapati tiada justifikasi yang jelas berkenaan asas penetapan 60,000 metrik tan minyak masak sebulan bagi penduduk di Malaysia.

Menurutnya, keperluan penggunaan minyak masak sebanyak 1.5 kg sebulan bagi setiap penduduk juga tidak disokong dengan kajian keperluan sebenar.

Justeru, LKAN berpandangan penetapan kuota 60,000 metrik tan sebulan bagi pengeluaran minyak masak bersubsidi tidak disokong oleh kajian komprehensif mengenai keperluan sebenar penggunaan minyak masak berdasarkan corak penggunaan domestik terkini. – 21 Julai, 2025

Topics

 

Hangat

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

FIFA slams FAM: Forged documents, fines and 12-month suspension rattles Malaysian football

World football’s governing body has sanctioned the Football Association of Malaysia (FAM) and seven naturalised players for using falsified documents to secure eligibility in the Asian Cup qualifier against Vietnam in June

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related