KUALA LUMPUR – Pembangkang mempersoalkan kenapa kerajaan tidak membentangkan pencapaian dan semakan terhadap Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Parlimen sebelum pembentangan RMK13 dilakukan.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi Scoop berkata, ia bagi membolehkan tahap penilaian dilakukan dan semua pihak dapat melihat perkembangan selain keberkesanan segala projek di bawah RMK12.
“Sepatutnya keraiaan membentang pencapaian dan semakan RMK12, sebagaimana adanya semakan separuh penggal maka pasti ada semakan akhir penggal sebelum perancangan baru,’’ katanya kepada Scoop hari ini.
RMK12, dengan peruntukan RM400 bilion yang dibentangkan pada 27 September 2021, merupakan fasa pelengkap rancangan pembangunan lima tahun negara (2021-2025).
Pada 20 September 2023, kerajaan telah menambah jumlah siling perbelanjaan RMK12 sebanyak RM15 bilion, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan kepada RM415 bilion.
Terdahulu, dalam pembentangan RMK13 di Parlimen hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah pelaburan sebanyak RM611 bilion perlu disediakan bagi menjayakan RMK13.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, peruntukan pembangunan daripada kerajaan dianggarkan berjumlah RM430 bilion manakala pembiayaan daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berjumlah RM120 bilion.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, pembangkang turut meragui kemampuan kewangan kerajaan bagi memenuhi RMK13.
“Dengan cabaran ketidaktentuan ekonomi global selain tarif Amerika Syarikat, begitu juga dengan soal perubahan iklim yang boleh memberi kesan termasuk rantau Asean,” katanya.
Beliau berkata, terdapat beberapa isu utama yang perlu diberi perincian oleh kerajaan menerusi RMK13 yang dibentangkan antaranya isu kedudukan Bumiputera dan keseimbangan pembangunan wilayah khususnya di negeri kurang membangun.
“Selain itu kerajaan juga harus melihat kesan perubahan iklim kepada bekalan makanan negara serta usaha adaptasi perubahan iklim tersebut yang tentunya mendatang kesan besar kepada negara.
“Tumpuan pembangunan modal insan juga perlu terus diperkasa serta cabaran negara tua dan isu moral dan integriti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Potfolio Ekonomi Perikatan Nasional (PN), Syahir Sulaiman berkata meskipun RMK13 menyatakan komitmen terhadap pembangunan wilayah yang seimbang namun dokumen itu tidak seperti RMK12 yang menyatakan secara jelas komitmen 50% perbelanjaan pembangunan (DE) terhadap enam negeri kurang membangun.
Syahir berkata, RMK13 tidak menetapkan sebarang sasaran kuantitatif atau formula agihan khusus kepada negeri-negeri kurang membangun seperti Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
“Lebih membimbangkan, isu reformasi hubungan fiskal Persekutuan-Negeri langsung tidak disentuh – termasuk agihan hasil cukai serta royalti hasil mineral seperti petroleum yang sering menjadi tuntutan negeri.
“Keadilan pembangunan tidak akan tercapai jika suara negeri terus disisihkan daripada proses perancangan dan pelaksanaan dasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok turut menyentuh kelemahan struktur ekonomi, dengan menyatakan walaupun RMK13 mengakui cabaran seperti ketidaksamaan pendapatan, gaji buruh yang rendah, dan kebergantungan kepada pelaburan langsung asing (FDI), namun pelan itu tidak membawa reformasi berani.
“Malah tiada penekanan dalam RMK13 terhadap isu pemilikan ekonomi rakyat, terutamanya bagi golongan Bumiputera, luar bandar dan pekerja informal.
“Ini berbeza dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) berteraskan prinsip ‘tiada siapa tertinggal’, secara langsung memperjuangkan pemerkasaan ekonomi Bumiputera dan pengagihan kekayaan yang lebih adil,” katanya.
Beliau memberitahu, kejayaan RMK13 tidak bergantung kepada keindahan perancangan semata-mata, sebaliknya mesti ditunjangi kejujuran politik dan ketelusan pelaksanaan.
Syahir memberitahu, RMK13 dibentangkan pada saat Malaysia sedang menghadapi pelbagai cabaran seperti pertumbuhan global yang perlahan, ketidaktentuan geopolitik, beban kos sara hidup, keperluan peralihan tenaga dan realiti negara menua menjelang 2030.
“Maka, tidak dapat dinafikan bahawa RMK13 perlu menjadi pelan pembangunan nasional yang bukan sahaja menyeluruh, tetapi mampu menangani persoalan struktur yang telah lama membelenggu ekonomi negara, seterusnya meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
“Namun, persoalan utama bukanlah pada jumlah aspirasi atau keindahan naratif, tetapi pada kekuatan struktur, kejelasan pelaksanaan, dan kejujuran politik dalam melaksanakan reformasi sebenar,” katanya. – 31 Julai, 2025

