HEADLINES

Tarif Malaysia dikurangkan kepada 19 peratus: Trump

AS sebelum ini mengenakan tarif 25% ke atas produk Malaysia yang dieksport ke negara itu, berkuat kuasa 1 Ogos, 2025

8:42 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Malaysia dikenakan tarif 19% lebih rendah berbanding 25% sebelum ini berdasarkan perintah eksekutif yang ditandatangani Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semalam.

Awal bulan lalu, AS mengenakan tarif 25% ke atas Malaysia yang sepatutnya berkuat kuasa hari ini, kadar yang disifatkan Trump “jauh lebih rendah” daripada apa yang diperlukan untuk menghapuskan defisit perdagangan negara itu dengan Malaysia.

Dokumen pelarasan lanjut kadar tarif timbal balas yang ditandatangani Trump bertarikh 31 Julai 2025 itu dimuat naik di laman sesawang Rumah Putih.

Selain Malaysia, negara dirantau Asean yang turut dikenakan tarif timbal balik termasuk Brunei 25%, Kemboja (19%), Indonesia (19%), Laos (40%), Myanmar (40%), Filipina (19%), Thailand (19%) dan Vietnam (20%).

Rumah Putih dalam satu kenyataan berkata, negara-negara yang masih belum memeterai perjanjian perdagangan atau menerima notis tarif daripada pentadbiran Trump akan menerima makluman rasmi daripada AS selewat-lewatnya tengah malam Khamis.

AS telah mencapai perjanjian baharu dengan Korea Selatan, termasuk tarif 15%, pembelian tenaga bernilai AS$100 bilion dan pelaburan AS$350 bilion dalam industri AS.

Rundingan dengan China masih berjalan, dengan sasaran mengurangkan defisit perdagangan AS sebanyak AS$5 bilion dan saluran komunikasi kekal terbuka.

Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt, berkata pasukan perdagangan AS sedang giat berhubung dengan sebanyak mungkin negara.

“Lebih 200 negara telah menghubungi pasukan perdagangan dan tarif kami. Kami utamakan rakan dagang utama, dan dua pertiga daripada 18 negara utama telah pun menandatangani perjanjian khas.

“Bagi negara yang belum menerima makluman, mereka akan terima surat atau perintah eksekutif sebelum tengah malam,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Leavitt turut mengumumkan bahawa AS telah mencapai perjanjian perdagangan baharu dengan Korea Selatan selepas rundingan di Rumah Putih pada Rabu.

Di bawah perjanjian itu, Korea Selatan akan dikenakan tarif sebanyak 15%, termasuk ke atas sektor automotif.

Korea Selatan bersetuju memberikan konsesi besar kepada barangan AS seperti beras dan tenaga.

Komitmen untuk membeli tenaga AS bernilai AS$100 bilion (RM427 bilion) menjelang 2028.

Pelaburan sebanyak AS$350 bilion (RM1.5 trilion) dalam industri AS, dengan 90% keuntungan disalurkan kepada kerajaan AS untuk mengurangkan hutang negara dan menyokong dasar pentadbiran semasa.

Leavitt turut memaklumkan bahawa rundingan perdagangan dengan China masih berlangsung dengan kemajuan positif.

“Susunan perdagangan semasa dijangka dapat mengurangkan defisit AS sebanyak AS$5 bilion (RM21.35 bilion) tahun ini,” katanya.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, dan Duta Perdagangan, Jamison Greer, baru sahaja menamatkan pusingan ketiga rundingan dengan pegawai China di Geneva, dan saluran komunikasi antara kedua-dua negara kekal terbuka.

Langkah ini menandakan usaha agresif pentadbiran Trump untuk menyusun semula hubungan perdagangan global, dengan tarikh akhir yang tegas dan tekanan tarif sebagai alat rundingan utama.

Negara-negara yang masih belum mencapai persetujuan dijangka berdepan keputusan penting menjelang tengah malam.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan beliau telah mengadakan perbualan telefon dengan Presiden AS Donald Trump pada 6.50 pagi untuk membincangkan isu tarif berlandaskan semangat dan prinsip perdagangan bebas.

Anwar berkata perbualan itu turut menyentuh siri rundingan yang sedang berlangsung antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Wakil Perdagangan AS dan Setiausaha Perdagangan AS. – 1 Ogos, 2025

Topics

 

Hangat

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Related