HEADLINES

Rasionalisasi CAAM-MAVCOM berkuatkuasa hari ini, Sharil Tarmizi dilantik pengerusi

Semua fungsi MAVCOM termasuk pengawalseliaan ekonomi kini dilaksanakan oleh CAAM

4:09 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini mengumumkan secara rasmi pelaksanaan penuh rasionalisasi antara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), menjadikan CAAM satu-satunya badan kawal selia penerbangan awam negara merangkumi aspek teknikal, keselamatan dan ekonomi. 

Menterinya, Anthony Loke berkata bermula hari ini, semua fungsi MAVCOM termasuk pengawalseliaan ekonomi kini dilaksanakan oleh CAAM.

“Langkah strategik ini membuka lembaran baharu kepada sektor penerbangan Malaysia ke arah sistem kawal selia yang lebih efisien, responsif dan berpaksikan tadbir urus yang lebih baik selaras dengan piawaian antarabangsa dan amalan terbaik yang digariskan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sempena pelaksanaan ini, MOT turut mengumumkan pelantikan Datuk Mohamed Sharil Tarmizi sebagai pengerusi baharu CAAM berkuat kuasa serta-merta.

“Sharil yang dilantik sebagai Anggota Pihak Berkuasa CAAM sejak 2021 dan kemudian Timbalan Pengerusi pada 2023 mempunyai pengalaman luas melebihi 30 tahun dalam sektor perundangan dan korporat, termasuk pernah menerajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif pada 2011.

“Kepakaran beliau dalam kawal selia sektor telekomunikasi, internet, media dan pos dijangka memperkukuh CAAM dalam fasa transformasi baharu ini,” katanya.

Loke berkata CAAM kini beroperasi sebagai Badan Berkanun Diasingkan Saraan dan Bebas (BBDSB), dengan mempunyai autonomi dalam merancang strategi kewangan dan pengurusan sumber manusia termasuk menawarkan struktur emolumen yang lebih kompetitif sejajar keputusan Jemaah Menteri.

“Semua warga kerja CAAM akan menerima penambahbaikan pakej emolumen setara dengan industri, sebagai langkah penting untuk menarik dan mengekalkan bakat berkemahiran tinggi seperti Pegawai Teknikal Berkelayakan ( QTP),” katanya.

Beliau berkata sebagai sebahagian daripada pelaksanaan rasionalisasi, semua kakitangan MAVCOM telah ditawarkan penempatan di CAAM, dengan 93 peratus daripada mereka menerima tawaran tersebut setakat 31 Julai 2025.

Bagi menyokong mandat CAAM yang diperluas, katanya struktur Anggota Pihak Berkuasa CAAM turut diperkukuh dengan pelantikan tambahan dibuat termasuk seorang wakil daripada Kementerian Ekonomi dan dua lagi ahli yang berpengalaman dalam bidang ekonomi, dasar persaingan dan hak pengguna.

“MOT yakin penyatuan fungsi kawal selia ini bukan sahaja menyelaraskan struktur institusi penerbangan negara, malah meningkatkan kecekapan operasi, daya saing industri serta keupayaan CAAM sebagai pengawal selia penerbangan bertaraf antarabangsa,” katanya. – 1 Ogos, 2025

Topics

 

Hangat

Cops on manhunt for suspects who murdered college student in Cyberjaya

Sepang police confirm incident happened today, involving 20-year-old female victim

Spotify hikes Premium subscription fees by RM1 to RM3 in Malaysia

Subscribers will face higher monthly payments across all Premium plans, effective from September

AFC to name 2031 and 2035 Asian Cup hosts in joint announcement

Record number of bids for 2031 edition prompts AFC to consider back-to-back host decisions at upcoming congress

Related