HEADLINES

Tabung Haji nafi proses penjenamaan semula RM20 juta, hanya RM2 juta setahun untuk tiga tahun

TH berkata proses tersebut melibatkan tinjauan pasaran meluas dan proses libat urus bersama pihak pendeposit bagi memahami dengan lebih baik keperluan mereka

5:32 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menyangkal dakwaan proses penjenamaan baharunya melibatkan perbelanjaan sebanyak RM20 juta.

Sebaliknya, TH dalam kenyataan hari ini berkata, peruntukan bagi proses peremajaan penjenamaan itu adalah sebanyak RM2 juta setahun, bagi tempoh tiga tahun.

Sambil menyifatkan ia sebagai fitnah, TH berkata proses tersebut melibatkan tinjauan pasaran meluas dan proses libat urus bersama pihak pendeposit bagi memahami dengan lebih baik keperluan mereka.

“TH mempunyai 9.6 juta pendeposit pada hari ini, iaitu hanya 50% dari penduduk muslim negara.

“Pada masa ini juga lebih 80% daripada transaksi kewangan dilakukan secara digital dan dalam talian.

“Lebih dari 53% pendeposit TH mempunyai simpanan kurang dari RM1,300 dan ini adalah jauh daripada mencukupi bagi persediaan menunaikan haji sedangkan bayaran haji bagi seorang jemaah kumpulan B40 tahun 2025 adalah RM15,000,’’ katanya.

Khamis lalu, Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) ketika perbahasan mengenai Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen antara lain mahukan pencerahan berhubung kos penjenamaan semula TH yang dikatakan bernilai RM20 juta dengan tiga firma bukan Islam terbabit dalam projek itu.

Sementara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan beliau akan menjawab isu berkaitan penjenamaan semula TH di Parlimen, Isnin ini.

Dalam pada itu, TH berkata, cakap-cakap bahawa TH tidak perlu berusaha bagi memperkukuhkan jenamanya setelah 60 tahun beroperasi juga adalah tidak tepat.

“TH telah memperkukuhkan jenama beberapa kali sebelum ini dan ini merupakan pelaburan penting bagi mengubah minda dan menarik minat umat Islam untuk menabung secara sistematik untuk memenuhi syarat kemampuan menunaikan haji,’’ katanya.

Menurut TH, ia sedang merancang kempen bagi menarik umat Islam menabung awal, konsisten dan sistematik bagi meningkatkan simpanan ke paras yang membolehkan mereka menunaikan ibadat haji, serta memastikan pelaburan yang stabil demi kelestarian institusi.

“Lembaga Pengarah TH telah memutuskan untuk mengkaji semula strategi untuk kekal berdaya saing memberi perkhidmatan terbaik dan menarik minat lebih ramai umat Islam Malaysia yang lebih muda sebagai pendeposit,’’ katanya. – 16 Ogos, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Best results since 2013: SPM 2024 shows improvement across the board

14,179 students scored straight A’s, significantly increasing from 11,713 last year and highest number in over a decade

Related