HEADLINES

12 individu dirakam keterangan bagi siasatan pelajar jatuh bangunan asrama di Sabak Bernam

Kita beri ruang untuk polis dapatkan kebenaran dan juga menjamin siasatan menyeluruh akan dilaksanakan, kata Amirudin

6:01 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – 12 individu telah dipanggil bagi merakam keterangan dalam siasatan kejadian seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga yang dipercayai terjatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam pada 26 Ogos lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagaimanapun tidak mendedahkan individu terbabit.

Kerajaan negeri, juga katanya, sedang menunggu hasil siasatan penuh oleh pihak polis.

“Kita beri ruang untuk polis dapatkan kebenaran dan juga menjamin siasatan menyeluruh akan dilaksanakan,” katanya, lapor Selangor Kini.

Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar tingkatan tiga berada dalam keadaan kritikal selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga di sebuah sekolah di Sabak Bernam dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2 pagi.

Keluarga mangsa mendakwa kejadian berkenaan mempunyai unsur buli berdasarkan kecederaan patah pada bahagian rahang, pendarahan otak dan kecederaan paru-paru.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, beliau sudah mengarahkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail yang juga Exco Kemajuan Desa mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan mangsa.

“Rizam sudah bertemu dengan ibu dan bapa tiri mangsa serta beliau menjelaskan Kerajaan Negeri bersedia menyokong apa pun langkah seterusnya demi menjamin keadilan dan siasatan menyeluruh,” katanya.

Sementara Exco Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin pula, ujar beliau, akan mendapatkan perkembangan terkini berkaitan keadaan mangsa dari Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

“Sudah pasti mangsa dalam pemantauan serius oleh pihak polis dan JKNS kerana beliau merupakan antara saksi utama kes ini, yang sudah semestinya boleh menceritakan kebenaran ataupun apa yang berlaku.

“Insya-Allah saya percaya JKNS sedang membuat yang terbaik untuk menyelamatkan mangsa terbabit,” ujarnya. – 29 Ogos, 2025

Topics

 

Hangat

38% of AirAsia flights delayed in 2024: Loke

Minister outlines measures to improve on-time performance, including incentives, penalties, and full refunds for major delays

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Related