HEADLINES

Pasaran perumahan negara kekal stabil, KPKT tolak laporan 100,000 rumah tidak terjual

Berdasarkan data rasmi Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), data bagi rumah siap tidak terjual menunjukkan trend penurunan bagi setiap suku tahun pertama bermula 2022

1:39 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pasaran perumahan negara kekal stabil dan terkawal dengan jumlah unit rumah siap tidak terjual menunjukkan trend penurunan bagi setiap suku tahun pertama bermula 2022.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (КРКТ) berkata, berdasarkan data rasmi Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) jumlah rumah siap yang tidak terjual menurun daripada 35,592 unit pada 2022 kepada 26,872 unit pada 2023, dan seterusnya kepada 24,208 unit pada 2024.

Sehingga 2025, kata KPKT, jumlah rumah siap yang tidak terjual adalah 23,515 unit, lapor Bernama.

“Perkembangan ini membuktikan bahawa pasaran perumahan negara kekal stabil dan terkawal, manakala usaha kerajaan memperkukuh dasar perumahan serta mengimbangi penawaran dengan permintaan telah memberikan kesan positif,” katanya.

Dalam pada itu, kementerian terbabit turut menjelaskan bahawa laporan media mengenai lebih 100,000 unit perumahan tidak terjual di pasaran adalah kurang tepat serta tidak mencerminkan keadaan sebenar sektor hartanah negara yang kekal stabil dan terkawal.

Jelasnya, jumlah dalam laporan tersebut merangkumi data rumah siap tidak terjual, rumah dalam pembinaan tidak terjual dan rumah diluluskan tetapi belum mula dibina.

KPKT juga memaklumkan pihaknya bekerjasama dengan NAPIC dalam penyediaan dan pelaporan data perumahan negara serta memperkukuh kerjasama strategik menerusi pelaksanaan inisiatif “Data Tunggal untuk Satu Negara” (1 Data for 1 Nation).

Menerusi inisiatif ini, kaedah kemasukan data tunggal dilaksanakan menerusi Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan (HIMS) yang dibangunkan Jabatan Perumahan Negara.

“Sistem bersepadu ini akan memastikan ketepatan, kejelasan dan konsistensi data perumahan di seluruh negara. la perlu menjadi rujukan utama negara dalam sektor perumahan dan mampu mengelakkan percanggahan laporan antara pelbagai agensi, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju,” ujarnya.

Dalam pada itu, KPKT memaklumkan telah mengemukakan 13 cadangan inisiatif utama kepada Kementerian Kewangan sebagai sebahagian daripada persediaan menjelang pembentangan Belanjawan 2026.

Cadangan-cadangan itu, ujarnya, dikemukakan bertujuan merancakkan kerangka ekonomi Madani antaranya termasuk membantu rakyat memiliki rumah pertama dengan lebih mudah pada kadar mampu milik melalui pelaksanaan Kempen Pemilikan Rumah MADANI (HOC 3.0).

КРКТ memaklumkan kempen tersebut merangkumi pakej insentif cukai dan bukan cukai yang bertujuan menggalakkan pemilikan rumah di samping merancakkan pertumbuhan sektor hartanah negara sebagai tiang seri ekonomi negara.

“KPKT memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kerajaan sentiasa komited untuk memastikan pasaran hartanah kekal sihat, mampan dan berpandukan data yang tepat,” katanya. – 5 September, 2025

Topics

 

Hangat

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Govt has settled RM42bil of 1MDB debt, total obligations exceed RM50bil: Anwar

Anwar reveals over RM9 billion in remaining debt, with government funds covering the shortfall

Solat Jumaat di pusat beli-belah: Zulkifli galak negeri lain turut serta

Menteri Agama Dr Zulkifli Hasan mengalu‑alukan negeri lain mencontohi Wilayah Persekutuan yang sudah mula laksana solat Jumaat di pusat beli‑belah, sambil merancang perluasan ke terminal, lapangan terbang dan R&R lebuh raya

Related