KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan pada Jumaat menolak permohonan terakhir warga Malaysia, Pannir Selvam Pranthaman untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman mati, sementara menunggu keputusan aduannya kepada Majlis Peguam Singapura terhadap bekas peguamnya.
Pannir disabit kesalahan pada 2 Mei 2017 kerana mengimport dadah melebih 51 gram heroin ke Singapura.
Peguam yang mewakili Pannir Selvam Pranthaman berhujah bahawa pelaksanaan hukuman mati itu perlu ditangguhkan kerana keterangannya diperlukan dalam prosiding tatatertib terhadap bekas peguamnya.
The Straits Times Singapura melaporkan salah satu isu utama dalam kes ini ialah sama ada sah bagi Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) membuat perbezaan antara jenis prosiding undang-undang yang dianggapnya relevan dalam penjadualan pelaksanaan hukuman mati.
Kementerian itu kemudiannya menyatakan pendirian bahawa dalam penjadualan pelaksanaan hukuman mati, ia mengambil kira sama ada banduan terlibat dalam prosiding mahkamah yang masih berjalan dan relevan yang mungkin menjejaskan sabitan atau hukuman terhadapnya.
MHA berkata prosiding yang tidak memberi kesan kepada sabitan atau hukuman, termasuk prosiding tatatertib terhadap peguam yang dibawa oleh banduan, tidak dianggap relevan.
Kementerian itu menambah ia juga mengambil kira sama ada keterangan banduan diperlukan dalam sebarang prosiding yang dibawa oleh pihak negara, seperti prosiding jenayah.
Keputusan dibuat panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Sundaresh Menon bersama barisan hakim Belinda Ang, Woo Bih Li, See Kee Oon dan Judith Prakash.
Dalam penghakimannya, hakim Sundaresh menyatakan bahawa prosiding yang dibawa oleh pihak Negara bertujuan untuk menegakkan kepentingan awam dan bukan kepentingan peribadi mana-mana banduan.
“Selain itu, tidak ada risiko bahawa prosiding sedemikian akan digunakan oleh banduan sebagai cara untuk “menghalang pelaksanaan hukuman mereka tanpa had masa.”
Pannir disabitkan kesalahan pada 2017 kerana mengimport 51.84g heroin ke Singapura dan dijatuhi hukuman mati mandatori.
Pada 2019, pelaksanaan hukuman matinya ditangguhkan oleh Mahkamah Rayuan atas alasan beliau berhasrat untuk mencabar penolakan petisyen pengampunannya kepada Presiden ketika itu, Halimah Yacob.
Percubaannya untuk memulakan cabaran tersebut akhirnya gagal pada 2020, dan beliau kemudian memfailkan beberapa permohonan pasca-rayuan lain.
Pada 24 Oktober 2024, beliau membuat aduan kepada Majlis Peguam terhadap Ong Ying Ping, yang pernah mengendalikan salah satu daripada permohonan tersebut.
Pannir mendakwa Ong telah menekan dan mengelirukannya supaya menandatangani satu notis untuk bertindak sendiri, serta enggan mewakilinya hanya tiga hari sebelum prosiding ditetapkan berlangsung.
Beliau juga mendakwa Ong terus mengutip yuran guaman daripada keluarganya walaupun selepas beliau menandatangani notis tersebut.
Pannir dijadualkan menjalani dihukum mati pada 20 Februari 2025. – 6 September, 2025
