HEADLINES

Libat urus RUU Mufti Wilayah Persekutuan masih berjalan: Mohd Na’im

Menteri Hal Ehwal Agama berkata ia bagi memastikan kefahaman lebih meluas berhubung tujuan serta objektif RUU terbabit

12:01 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan, sesi libat urus membabitkan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 masih dalam pelaksanaan.

Beliau berkata, arahan telah dikeluarkan kepada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan supaya usaha itu dipergiatkan bagi memastikan kefahaman yang lebih meluas mengenai tujuan serta objektif RUU terbabit.

“Keperluan dalam konteks Kabinet adalah supaya lebih banyak libat urus diadakan dengan pihak-pihak yang berkaitan dan pihak berkepentingan untuk diberi penjelasan.

“Kita akan terus (lakukan libat urus) sampai satu waktu yang kita rasa sesuai, RUU itu masih ada lagi di Parlimen dan tidak ditarik balik atau dibatalkan, jadi yang penting ialah memberikan kefahaman yang jelas sebab banyak kekeliruan timbul dan memerlukan penjelasan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Karnival Keluarga Sejahtera 2025 di Shah Alam, hari ini lapor Bernama.

Media pada 29 Ogos lalu melaporkan, perbahasan untuk meluluskan RUU berkenaan ditangguh buat kali keempat sejak rang undang-undang itu dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Julai tahun lepas.

RUU itu antara lain bertujuan mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubung dengan mufti serta penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak.

Selain itu, RUU terbabit memperincikan fungsi dan peranan mufti dalam membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara hukum syarak, tatacara mengeluarkan fatwa, pendapat berhubung dengan hukum syarak di mahkamah serta penentuan arah kiblat.

Dipengerusikan mufti, RUU itu turut memperincikan penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal dan Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam. – 20 September, 2025

Topics

 

Hangat

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

12 hours on the road no guarantee for liveable wages, say several food delivery riders

Long working hours and cut-throat remuneration structure have been a bane for food delivery riders recently with some considering to leave their current service platform for another – or find a new job altogether.

Related