HEADLINES

Kerjasama strategik Grab Malaysia, peneraju EV dan perkhidmatan bernilai tinggi perkasa komuniti pekerja gig

Melalui kerjasama GIATMARA, BYD Sime Motors dan CARSOME, pekerja gig Grab berpeluang menaik taraf kemahiran, membuka akses kepada perkhidmatan bernilai tinggi, serta beralih kepada EV demi kejayaan dan kelestarian jangka panjang

5:56 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Grab Malaysia menjalin kerjasama strategik dengan Giatmara, BYD Sime Motors dan CARSOME bagi menaik taraf kemahiran, membuka akses perkhidmatan bernilai tinggi, serta beralih kepada kenderaan elektrik demi kejayaan dan kelestarian jangka panjang komuniti pemandunya.

Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti Grab Malaysia, Rashid Shukor dalam satu kenyataan berkata, kerjasama dengan Giatmara melalui GrabAcademy memperkasa rakan pemandu dan penghantar dengan kursus peningkatan dan latihan semula kemahiran, agar mereka dapat terus berdaya saing, sama ada di dalam dan di luar ekosistem Grab.

“Inisiatif ini juga menyokong usaha berterusan kerajaan dalam memperkasa segmen ini,” jelasnya sambil menambah, GrabAcademy, yang menjadi sebahagian teras GrabBenefits, telah menawarkan pelbagai program bersama agensi kerajaan dan rakan industri sejak 2017.

“Kami juga membuka lebih banyak peluang kepada rakan pemandu untuk menaik taraf serta
meningkatkan potensi peluang pendapatan mereka. Melalui kerjasama bersama rakan industri kukuh seperti BYD Sime Motors dan CARSOME, kami menjadikan penambahbaikan ini lebih mudah diakses, di samping memberi manfaat harian kepada komuniti kami,” katanya.

Rashid berkata, antara inisiatif tersebut termasuk kerjasama dengan CARSOME Academy, Saito University College dan Aisya Rahman Advisory, yang telah memberi manfaat kepada ribuan rakan pemandu dan penghantar. Malah, Program kelayakan mikro celik kewangan
khususnya telah memberikan impak yang besar kepada rakan pemandu dan penghantar.

“Bersama-sama, Grab dan Giatmara akan memperluas akses kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi komuniti pemandu Grab, dengan tumpuan kepada kemahiran praktikal dan berdaya-kerja seperti penjagaan dan keselamatan kenderaan, operasi logistik, pengetahuan asas elektrik dan kenderaan elektrik (EV), perkhidmatan digital dan pelanggan, serta pengurusan perusahaan kecil dan kewangan.

“Program ini menggabungkan modul dalam talian yang fleksibel melalui GrabAcademy dengan latihan amali di pusat Giatmara, membolehkan rakan pemandu dan penghantar mempelajari kemahiran pada kadar mereka sendiri sambil memperoleh pengalaman dunia sebenar,” katanya lagi.

Jelas Rashid, kerjasama Grab dengan BYD Sime Motors yang dilancarkan pada Jun 2025, mempercepatkan kadar penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia, bermula dengan fasa awal yang menawarkan 10 MPV elektrik BYD M6 yang boleh ditempah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Melalui kerjasama baharu ini, rakan pemandu yang layak boleh menikmati rebat sehingga RM25,000, serta rebat khas 2% bagi perkhidmatan kenderaan yang dibayar secara tunai.

“Dalam masa yang sama, kerjasama berterusan Grab dan CARSOME memperluas akses kepada pilihan naik taraf dan tukar-beli kenderaan pada harga mampu milik. Rakan pemandu yang layak boleh menikmati diskaun sehingga RM3,000 untuk pembelian atau tukar-beli kenderaan melalui platform CARSOME.

“Bagi menyokong lagi usaha penambahbaikan, Grab turut menawarkan baucar minyak sekaliberi bernilai sehingga RM1,000 (bergantung kepada jenis perkhidmatan GrabCar dan tertakluk kepada syarat perjalanan yang ditetapkan), sekali gus menyediakan laluan yang lebih menjimatkan untuk rakan pemandu yang ingin meningkatkan taraf mereka dengan lebih cepat,” katanya.

Kempen ini dijalankan di seluruh negara dari 7 Oktober hingga 31 Disember 2025, dan terbuka kepada pemandu Grab yang baharu mahupun sedia ada.

Menerusi kerjasama rakan industri ini, Grab memperkukuh peluang pendapatan serta memperbaiki laluan peningkatan kerjaya dan pembangunan kemahiran untuk rakan pemandu dan penghantar di seluruh negara. – 8 Oktober, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related