HEADLINES

Anwar bangga perjuangan 23 aktivis Malaysia, cipta sejarah tersendiri negara

Perdana Menteri berkata misi GSF turut mendapat perhatian dunia apabila keberanian para peserta termasuk wakil Malaysia, menjadi simbol keteguhan dan solidariti rakyat sejagat terhadap perjuangan Palestin

9:22 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa bangga dengan perjuangan serta pengorbanan 23 aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).

Perdana Menteri berkata demikian kerana misi kemanusiaan untuk memberikan bantuan kepada rakyat Gaza itu telah mencipta sejarah tersendiri negara apabila anak Malaysia berani mempertaruhkan nyawa demi solidariti sejagat.

Beliau yang juga Penaung Sumud Nusantara turut menghormati semangat dan keberanian peserta GSF yang sanggup meninggalkan keluarga demi perjuangan kemanusiaan, walaupun berdepan dengan risiko yang tinggi.

“Ini bukan melawat Paris, ini nak pergi ke Gaza yang dikuasai Israel. Saya sebagai seorang bapa, tentunya risau kerana saya tahu mereka cari susah. 

“Tetapi, saya hormat mereka kerana anak-anak ini mencipta sejarah. Mereka bukan sekadar berbicara, tetapi melangkah dalam jihad sebenar,” kata beliau di Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini malam tadi.

Perdana Menteri berkata pelayaran misi GSF itu turut mendapat perhatian dunia apabila keberanian para peserta termasuk wakil Malaysia, menjadi simbol keteguhan dan solidariti rakyat sejagat terhadap perjuangan Palestin.

Anwar turut membidas dakwaan segelintir pihak yang memperlekehkan perjuangan peserta GSF dengan menuduh mereka mempunyai niat atau agenda tertentu.

“Saya salute (tabik) mereka sebab saya kalau nak pergi pun tak mudah juga. Mereka pergi, tetapi ada yang cakap niat dia mungkin tak baik, nak popular, nak popularkan pondok dia — manusia jenis apa ini?

“Kamu tak berani pergi. (Jadi, apabila orang (lain) pergi, kamu doakanlah. Itu yang mampu kita buat,” kata beliau memetik laporan Bernama.

Antara rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).

Selian itu, turut ditahan, Razali Awang yang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia belayar ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Pada 2 Oktober, semua aktivis termasuk 23 rakyat Malaysia ditahan tentera rejim Zionis, selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan zon merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Bagaimanapun, semua aktivis Malaysia berjaya dibawa keluar dari Israel pada 4 Oktober hasil usaha Perdana Menteri serta bantuan kerajaan Turkiye. – 9 Oktober, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related