HEADLINES

Apa dah jadi dengan cukai vape?: Wan Saiful

Ahli MPT Bersatu berkata, tanpa kejelasan dasar dan tindakan segera, belanjawan ini tidak konsisten dan gagal menangani isu vape secara menyeluruh

10:03 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan hairan apabila tiada langsung pengumuman mengenai cukai vape atau sebarang langkah asas ke arah pengharamannya dibentangkan dalam Belanjawan 2026 (Bajet 2025) semalam.

Beliau berkata, ketika kerajaan lantang bercakap tentang rancangan untuk mengharamkan vape secara berperingkat, menyelaraskan cukai vape dan menetapkan harga minimum vape sepatutnya menjadi langkah pertama yang paling asas.

“Saya amat hairan apabila tiada langsung sebarang pengumuman mengenai cukai vape dalam Belanjawan 2026, walhal di Parlimen, YB Timbalan Menteri Kesihatan sendiri mengumumkan bahawa kementerian telah mencadangkan kenaikan cukai vape daripada 40 sen kepada RM4 setiap mililiter.

“Saya faham bahawa langkah pengharaman memerlukan masa. Tetapi cukai dan harga minima boleh dilaksanakan serta-merta untuk mengurangkan tarikan produk ini,” katanya dalam satu perkongsian di media sosial hari ini.

Ahli MPT Bersatu itu turut mempersoalkan mengapa kerajaan tidak berani melaksanakan cadangan yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan sendiri.

“Adakah wujud percanggahan dasar di antara kementerian dan perbendaharaan?,” soalnya.

Wan Saiful berkata, tanpa kesaksamaan cukai (tax parity) dan tanpa harga minimum yang munasabah, vape akan kekal jauh lebih murah berbanding rokok, sekaligus terus menjadi pilihan utama, terutamanya dalam kalangan remaja.

“Ini bercanggah dengan niat kerajaan untuk mengawal dan akhirnya mengharamkan produk tersebut,” katanya.

Wan Saiful yang turut mencadangkan beberapa langkah berkata, jika kerajaan benar-benar serius mahu menuju ke arah pengawalan vape, dasar negara perlu disusun dengan teratur dan berperingkat.

“Langkah pertama, laksanakan cukai setara dengan produk nikotin lain dan tetapkan harga minimum vape sekurang-kurangnya RM12.

“Langkah kedua, perkukuh penguatkuasaan Akta 852 agar produk tidak berdaftar dan jualan kepada bawah umur dapat dibanteras dan langkah ketiga, barulah pelaksanaan pengharaman dapat dilakukan secara tersusun, tanpa mencetuskan pasaran gelap yang sukar dikawal,” jelasnya.

Tanpa kejelasan dasar dan tindakan segera, belanjawan ini tidak konsisten dan gagal menangani isu vape secara menyeluruh.

“Kerajaan tidak boleh hanya bercakap tentang pengharaman tetapi langkah kawalan yang paling asas pun tak mahu dilaksanakan lebih awal,” katanya. – 11 Oktober, 2025

    Topics

     

    Hangat

    Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

    Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

    Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

    The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

    InDrive faces termination for flouting guidelines

    It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

    Related