HEADLINES

Arab Saudi umum syarat kesihatan Haji 2026: bebas penyakit kronik, tunai haji secara kendiri

TH bagaimanapun masih menyediakan klinik kesihatan di semua bangunan penginapan jemaah haji di Makkah dan Madinah

2:17 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jemaah haji bagi musim haji 1447H/2026 yang memerlukan rawatan lanjut di tanah suci akan dirujuk ke hospital-hospital yang disediakan oleh kerajaan Arab Saudi, dengan bantuan pemantauan rapi oleh pakar perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ia berikutan syarat kesihatan baharu yang dikeluarkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah haji musim tahun hadapan, yang tidak lagi membenarkan Lembaga Tabung Haji (TH) membuka Pusat Rawatan di Tanah Suci.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Mustakim Mohamad, TH bagaimanapun masih menyediakan klinik kesihatan di semua bangunan penginapan jemaah haji di Makkah dan Madinah.

“Setiap bangunan dilengkapi klinik pesakit luar dan farmasi yang dikendalikan petugas kesihatan bertauliah daripada KKM bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada jemaah Malaysia, termasuk pengiring bagi warga emas dan orang kelainan upaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

TH juga, ujar Mustakim, telah merancang untuk menyediakan kemudahan kesihatan di hospital swasta Arab Saudi sekiranya perlu dan menyediakan 225 petugas kesihatan dengan kerjasama KKM.

“Keperluan tahap kesihatan yang baik adalah salah satu syarat kemampuan mengerjakan haji (istito’ah) yang sentiasa ditekankan dalam resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan. Seperti mana syarat menerima tawaran haji sebelum ini, bakal haji perlu lulus pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan pihak KKM,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga memberitahu, syarat kesihatan baharu itu akan dikuatkuasakan oleh TH dan perlu dipatuhi semua jemaah dari Malaysia bagi memperoleh visa haji.

Antara syarat yang ditetapkan ialah bakal jemaah perlu bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik yang tidak terkawal, serta berupaya melaksanakan ibadat haji secara kendiri.

Jemaah haji, kata Mustakim, tidak dianggap layak mengerjakan haji sekiranya menghidap penyakit atau keadaan seperti kegagalan buah pinggang kronik, kegagalan jantung atau penyakit jantung serius, penyakit paru-paru kronik dan penyakit hati kronik.

“Selain itu, turut tidak layak ialah mereka yang mengalami masalah neurologi atau mental yang menjejaskan fungsi kognitif atau motor, warga emas yang menghidap dementia atau lemah fizikal, kehamilan berisiko tinggi, penyakit berjangkit aktif serta pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan,” katanya.

Mustakim turut menasihatkan bakal jemaah haji supaya membuat persediaan kesihatan fizikal secukupnya memandangkan mereka akan berada di Arab Saudi dalam tempoh yang panjang serta berdepan suasana berdebu dan cuaca panas.

“TH akan terus memastikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik bagi setiap jemaah haji negara.

“Jemaah haji juga perlu membuat persediaan kesihatan fizikal secukupnya kerana mereka akan berada di Arab Saudi dalam tempoh yang lama dan melalui suasana berdebu dan cuaca yang panas”, tambah Mustakim. – 20 Oktober, 2025

Topics

 

Hangat

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

We never ask for personal user data from telcos under MPD initiative: MCMC

Deputy managing director explains that all mobile data is anonymised at the telco level, with no names, IC numbers or addresses ever collected or stored by the commission

FAM dismisses talk of Nacho Mendez joining Harimau Malaya

FAM says it is not pursuing any process involving Mendez and has dismissed speculation linking the Spanish-born player to Harimau Malaya

Related