HEADLINES

Pergerakan penumpang Malaysia Airports pada suku ketiga 2025 naik 40.6 juta

KLIA telah mengendalikan 16.3 juta pergerakan penumpang pada suku ketiga 2025, peningkatan 7.75 peratus tahun ke tahun

2:46 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Malaysia Airports Group mencatatkan jumlah pergerakan penumpang sebanyak 40.6 juta pada suku ketiga tahun ini termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (ISGIA).

Dalam suku ketiga (S3 2025) ini menyaksikan pertumbuhan 12.2 peratus berbanding 36.2 juta penumpang yang direkodkan bagi tempoh yang sama tahun lepas, kata pengendali lapangan terbang itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, bagi operasi domestik kumpulan Malaysia Airports, jumlah pergerakan penumpang meningkat sebanyak 8.1 peratus kepada 26.9 juta pada suku ketiga tahun ini berbanding 24.9 juta yang dicatatkan pada suku ketiga tahun lalu.

“Sebagai pintu masuk utama negara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengendalikan 16.3 juta pergerakan penumpang pada suku ketiga 2025, iaitu peningkatan sebanyak 1.2 juta penumpang atau 7.75 peratus tahun ke tahun berbanding tempoh yang sama pada 2024,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports Datuk Mohd Izani Ghani berkata lapan syarikat penerbangan baharu telah memulakan operasi di Malaysia tahun ini, sekali gus mengukuhkan lagi keterhubungan udara global negara.

“Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026, kami terus mengembangkan laluan baharu dan menjalin kerjasama dengan syarikat penerbangan merentas pasaran utama di ASEAN, Asia Selatan, Asia Timur Laut, Asia Tengah, Timur Tengah, Eropah dan Barat Daya Pasifik.

“Usaha yang dilakukan ini mengesahkan komitmen kami untuk meletakkan Malaysia sebagai hab pilihan  penerbangan serantau, menghubungkan lebih ramai penumpang dan destinasi sambil terus meningkatkan pengalaman penumpang dan kecemerlangan operasi,” katanya.

Bagi suku ketiga, dua syarikat penerbangan baharu memulakan operasi di Malaysia, menjadikan jumlah keseluruhan syarikat penerbangan kepada 75 termasuk Jiangxi Air dengan laluan Nanchang–Kuala Lumpur dan Hong Kong Express yang mengendalikan perkhidmatan Hong Kong–Subang, kata pengendali lapangan terbang itu.

Dalam tempoh yang sama, 12 laluan baharu telah diperkenalkan termasuk sambungan antara Taiyuan–Wuhan–Kuala Lumpur oleh China Eastern Airlines.

Sementara itu, ISGIA mengekalkan trajektori pertumbuhan yang kukuh dengan merekodkan 13.7 juta pergerakan penumpang pada suku ketiga 2025, peningkatan 21.2 peratus tahun ke tahun berbanding 11.3 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pertumbuhan ini terutamanya disebabkan oleh trafik antarabangsa yang meningkat sebanyak 26.1 peratus kepada 7.4 juta daripada 5.9 juta penumpang, sekali gus menekankan kedudukan lapangan terbang itu sebagai hab transit utama antarabangsa dan pintu masuk pilihan untuk kesalinghubungan serantau, kata Malaysia Airports. – 21 Oktober, 2025

Topics

 

Popular

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Related