KUALA LUMPUR – Amalan merotan di sekolah wajar dipertimbangkan semula dengan syarat ketat dan dibincangkan sebelum dimuktamadkan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, beliau secara peribadi bersetuju dengan pengembalian hukuman rotan di sekolah bagaimanapun ia perlu disertai dengan syarat-syarat ketat.
“Soal rotan pandangan perbadi saya, saya telah suarakan, (rotan) harus dikembalikan tapi dengan syarat-syarat ketat. Rotan mungkin di tangan, bukan bagi kelonggaran sepenuhnya.
“Saya pernah menjadi guru dan saya ingat puluhan anak-anak (murid) saya dah rotan… tapi di tangan. Tentunya tidak terlalu nampak sangat penderaannya,” katanya ketika menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun Anwar mengakui ada pandangan daripada kumpulan-kumpulan hak asasi yang merasakan rotan termasuk dalam kategori penderaan anak-anak namun ada pendidik yang merasakan terdapat keperluan untuk melaksanakan hukuman tersebut.
“Jadi saya faham kontroversi itu. Saya ingat ramai pendidik, mereka merasakan ada keperluan. Tapi dengan syarat-syarat yang ketat dan ditugaskan guru tertentu di bilik khas, bilik disiplin dan berapa maksimum rotan.
“Jadi saya tidak fikir ibu bapa harus terlalu bimbang.
“Kenakalan anak-anak ini suatu perkara yang biasa. Tapi bila dia melanggar peraturan yang agak berlebihan, tentunya harus ada hukuman. Tapi ini sekadar pandangan bukan dasar kerajaan,” katanya.
Anwar memberitahu, beliau percaya perkara berkenaan harus dipertimbangkan dan diperhalusi serta memerlukan libat urus dengan Menteri Pendidikan sebelum ia dimuktamadkan. – 23 Oktober, 2025

