KUALA LUMPUR – Dua pemimpin Bersatu yang dipecat dan digantung baru-baru ini mendedahkan ‘kedudukan istimewa’ Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam parti dan menggambarkan Setiausaha Agung parti berkenaan sebagai ‘anak emas’ yang dilindungi serta didakwa menjadi punca utama kepada perpecahan dalaman parti.
Pendedahan itu dibuat oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menerusi podcast Trick Lama pada Selasa.
Mereka mendakwa kepimpinan Bersatu terlalu bergantung kepada Azmin, yang digambarkan sebagai ‘dalang utama’ di sebalik tindakan yang diambil oleh Lembaga Disiplin parti baru-baru ini termasuk pemecatan dan penggantungan.
Bercakap dalam podcast yang diterajui Pengarah Eksekutif Kumpulan Big Boom Media Datuk Ahirudin Attan, lebih dikenali sebagai Rocky Bru dan Ketua Pengarang Scoop, Terence Fernandez, kedua-duanya mempersoalkan kenapa Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin sanggup mengorbankan ahli yang setia dan mempertaruhkan hubungan dengan sekutu penting seperti PAS demi mempertahankan bekas Timbalan Presiden PKR itu.
“Apa sebenarnya sumbangan Azmin kepada parti” soal Wan Saiful, yang hairan dengan kedudukan tinggi Azmin dalam Bersatu meskipun beliau dilihat kurang mendapat sokongan akar umbi.
“Hakikatnya, kalau tanya akar umbi, mereka masih sukar menerima Azmin mempunyai kedudukan yang begitu istimewa,’’ katanya.

Contoh paling ketara, dakwa Wan Saiful ialah ketika Muhyiddin menamakan Azmin untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri semasa pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Keputusan itu mengetepikan keseluruhan hierarki kepimpinan Bersatu, termasuk Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden.
“Beliau menamakan Azmin Ali,” kata Wan Saiful, sambil menambah keputusan itu dibuat secara unilateral tanpa dibincangkan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi parti.
Dalam pada itu peneraju podcast turut menyentuh mengenai Azmin yang mempunyai sejarah sebagai ‘orang kesayangan’ politik, dengan Rocky Bru mengaitkan status Azmin sebagai ‘anak emas’ menerusi beberapa pemimpin – bermula dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad hinggalah kepada Muhyiddin hari ini.

Pada 14 Oktober lalu, Bersatu telah memecat keahlian Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang didakwa melanggar perlembagaan dan kod etika parti.
Manakala Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung hak keahlian bagi tempoh satu penggal di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.
Sementara itu, kedua-dua Ahli Parlimen itu mendakwa kritikan terhadap Azmin merupakan satu ‘garisan merah’ dalam parti.
Wan Saiful mendedahkan salah satu daripada dua tuduhan yang menyebabkan beliau dipecat ialah kerana mengkritik Azmin dan beberapa pemimpin lain secara terbuka.
“Saya dipecat, tetapi ada juga yang mengkritik Tun Faisal (Ismail Aziz) turut dipanggil oleh lembaga disiplin,” katanya, sekali gus menunjukkan betapa sensitifnya parti dengan kritikan terhadap tokoh yang dianggap ‘terpelihara’.
Wan Fayhsal turut menyentuh mengenai kemenangan kontroversi Hilman Idham bagi jawatan Ketua Armada pada pemilihan lalu, yang dikenali sebagai ‘budak Azmin’.
Keadaan ini, katanya, menunjukkan pembersihan dalam parti berkait rapat dengan perebutan kuasa, yang didakwa digerakkan untuk mengukuhkan pengaruh Azmin serta penyokongnya.
Sementara Wan Saiful pula mendakwa Azmin merupakan perancang utama di sebalik kekacauan yang membawa kepada pemecatan mereka.
“Datuk Seri Azmin, pada pandangan saya, ialah dalang utama di sebalik semua ini,” katanya.
Pendedahan itu mencetuskan persoalan serius mengenai perpecahan dalaman Bersatu dan sejauh mana pengaruh sebenar Azmin Ali terhadap hala tuju parti serta presidennya. – 23 Oktober 2025

