HEADLINES

Saya yang cadangkan tujuh pemain warisan: Tengku Muda Pahang

Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata pemain-pemain bola sepak itu telah disyorkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui saluran yang betul dengan niat tulus untuk memperkukuh pasukan kebangsaan

11:44 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, mendedahkan beliau yang mencadangkan nama tujuh pemain warisan yang kini disiasat dan digantung oleh FIFA kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk pertimbangan menyertai pasukan kebangsaan.

Dalam satu kenyataan yang diperoleh Scoop hari ini, Tengku Abdul Rahman menegaskan semua cadangan itu dibuat dengan niat baik dan melalui prosedur yang sah, dengan tujuan memperkukuh skuad Harimau Malaya selaras dengan aspirasi untuk meningkatkan mutu bola sepak Malaysia.

“Ketujuh-tujuh pemain ini adalah warganegara Malaysia yang sah, setelah memperoleh kewarganegaraan melalui proses undang-undang yang betul mengikut peraturan negara,” kata Baginda.

Menurut Tengku Abdul Rahman, beberapa ejen telah mendekatinya sejak akhir tahun 2024 untuk memperkenalkan pemain bagi tujuan penilaian. Nama-nama yang dicadangkan kemudian diserahkan kepada FAM untuk penilaian lanjut bagi menentukan kelayakan mereka sebagai pemain warisan.

“Setiap cadangan dibuat dengan niat ikhlas untuk membantu memperkukuh skuad kebangsaan dan mewujudkan peluang kepada bakat berdarah Malaysia di luar negara untuk berkhidmat kepada tanah air mereka,” tambahnya.

Tengku Abdul Rahman turut menjelaskankemasukan pemain naturalisasi dan warisan bukanlah perkara baharu kerana usaha seumpamanya pernah dilakukan di peringkat kelab sebelum ini.

“Pahang juga pernah terlibat dalam proses naturalisasi beberapa pemain seperti Mohamadou Sumareh, Sergio Aguero dan Lee Tuck. 

“Inisiatif itu dilaksanakan untuk memperkukuh Harimau Malaya dan memberi lebih banyak pilihan taktikal kepada barisan kejurulatihan,” katanya.

Baginda turut memuji visi dan usaha Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam meningkatkan mutu bola sepak Malaysia.

Tengku Abdul Rahman menegaskan kejayaan luar biasa Johor Darul Ta’zim FC (JDT) kini menjadi penanda aras kepada profesionalisme dan pengurusan bola sepak moden di negara ini.

“Bertitik tolak oleh visi dan ketegasan Baginda, saya juga berasa terpanggil untuk memainkan peranan dan menyumbang ke arah memperkukuh pasukan kebangsaan Malaysia,” ujar Tengku Abdul Rahman.

Baginda mengakhiri kenyataannya dengan menegaskan sokongan penuh terhadap sebarang inisiatif yang dapat membantu meningkatkan mutu bola sepak negara.

“Saya percaya kemasukan pemain naturalisasi dan warisan boleh mempertingkatkan kualiti serta daya saing pasukan. Sebarang usaha yang menyumbang kepada kemajuan bola sepak Malaysia akan sentiasa mendapat sokongan saya,” katanya. – 24 oktober 2025

Topics

 

Popular

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Malaysia Airlines tops domestic flight punctuality rankings of 85.3%

National carrier led on-time performance up to May 2025, as government enforces stricter rules on delays and passenger compensation

End of an era: Ex-Malaysia Airlines A380 faces dismantling in French scrapyard

Once a long-haul icon, the superjumbo is being dismantled for prized components as the airline modernises its fleet with fuel-efficient jets

Related