KUALA LUMPUR – BlackBerry Technology Malaysia Sdn Bhd dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pembangunan bakat digital, khususnya melahirkan pemimpin siber dan jurutera perisian bagi menyokong matlamat Malaysia memperkukuh saingan industri di rantau ASEAN.
Kerjasama ini melambangkan pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Kanada serta komitmen bersama dalam memperkukuh keupayaan dan ketahanan siber serantau dalam mendepani ancaman digital yang kian meningkat.
BlackBerry turut bekerjasama dengan UKM dan Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) dalam melaksanakan Program Trustworthy Professionals, yang merupakan inisiatif bagi menyasarkan 50 belia daripada latar belakang kurang berkemampuan untuk menjalani latihan keselamatan siber serta kursus etika digital.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kerjasama ini bukan sahaja meningkatkan penyelidikan dan inovasi di universiti, malah melahirkan tenaga kerja berkemahiran dalam bidang keselamatan siber dan pembangunan perisian.
“Kerjasama ini bukan sahaja mengukuhkan penyelidikan dan inovasi, malah membantu melahirkan profesional siber dan pembangun perisian terbenam dengan kemahiran teknikal serta kepimpinan yang diperlukan untuk memacu masa depan digital Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada acara sampingan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa Kanada, Maninder Sidhu.
Maninder Sidhu berkata, perkongsian antara BlackBerry dan UKM membuktikan bagaimana inovasi Kanada dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital yang selamat dan berdaya saing di rantau ini.
“Dengan bekerjasama dengan institusi pendidikan seperti UKM, kita membantu membina bakat dan teknologi yang akan memacu kemakmuran bersama di ASEAN,” katanya.
Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif BlackBerry, John Giamatteo berkata, pembangunan tenaga kerja berkemahiran digital amat penting untuk keselamatan negara dan pembangunan ekonomi mampan.
“Melalui kerjasama ini, individu berpotensi tinggi akan mendapat akses latihan bertaraf dunia, pengalaman praktikal dan bimbingan industri agar dapat membentuk pemimpin siber yang mampu melindungi negara daripada ancaman masa depan,” jelasnya.
Pelajar dan tenaga kerja UKM akan mendapat manfaat daripada program global QNX Everywhere yang ditawarkan oleh BlackBerry, termasuk latihan dan pensijilan dalam QNX Software Development Platform (SDP) iaitu lesen percuma bagi penggunaan bukan komersial serta bimbingan komuniti pembangunan.
Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh berkata, kerjasama strategik ini merupakan langkah penting ke arah memperkukuh keupayaan negara dalam bidang keselamatan siber dan sistem terbenam.
“Dengan gabungan kepakaran akademik UKM dan pengalaman global BlackBerry, kami berhasrat melahirkan pemimpin teknologi yang berpengetahuan tinggi, beretika dan komited untuk melindungi masa depan digital negara,” katanya. – 28 Oktober, 2025
