KUALA LUMPUR — Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau campur tangan dalam keputusan yang diambil oleh lembaga disiplin parti ke atas beberapa Ahli Parlimen dari Bersatu, baru-baru ini.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah ketika dihubungi Scoop berkata, Muhyiddin menyifatkan tindakan yang diambil lembaga disiplin itu adalah selaras dengan perlembagaan parti.
Saifuddin, yang menyerahkan sepucuk surat yang ditandatangani 16 Ahli Parlimen Bersatu kepada Muhyiddin pada 27 Oktober lalu, berkata surat tersebut menyuarakan kebimbangan terhadap perpecahan yang semakin ketara dalam parti dan menggesa kepimpinan supaya memulihkan kestabilan dalam Perikatan Nasional (PN).
“Ketika saya menyerahkan surat itu, Tan Sri Muhyiddin membacanya dan berkata lembaga disiplin telah bertindak mengikut perlembagaan parti dan beliau tidak campur tangan.
“Saya menjelaskan surat itu bukan rayuan bagi pihak tiga Ahli Parlimen yang dirujuk kepada Lembaga Disiplin, tetapi merupakan luahan kebimbangan oleh Ahli-Ahli Parlimen Bersatu mengenai keadaan dalaman parti,” katanya ketika dihubungi Scoop.
Tiga Ahli Parlimen yang terlibat ialah Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan yang dipecat dari parti; Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang digantung selama enam bulan dan Timbalan Presiden parti yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Hamzah dipanggil menghadap lembaga disiplin parti namun beliau mengambil keputusan untuk tidak menghadirkan diri.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, beliau kemudiannya memaklumkan kepada Ahli-Ahli Parlimen yang menandatangani surat itu mengenai respon Muhyiddin dan menasihatkan mereka supaya tidak mengambil tindakan lanjut.
Terdahulu, tular sepucuk surat yang ditandatangi 16 Ahli Parlimen kepada Muhyiddin, bertarikh 23 Oktober, menyatakan ‘kebimbangan serius’ terhadap tindakan menggantung dan memecat beberapa ahli parti, iaitu satu langkah yang disifatkan boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Bersatu selain melemahkan kedudukan PN menjelang pilihan raya negeri Sabah.
Antara Ahli Parlimen yang menandatangani surat itu termasuk Saifuddin, Mejar-Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh), Muhammad Islahuddin Abas (Mersing), Fathul Huzir Ayob (Gerik), Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu) dan Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).
Lain-lain ialah Ahli Parlimen dari Rompin, Kangar, Kuala Nerus, Jerantut, Setiu dan beberapa kawasan lain.
Saifuddin berkata Ahli-Ahli Parlimen itu tidak berniat menjejaskan legasi Muhyiddin sebaliknya mahu membawa parti ke hadapan.
“Tan Sri Muhyiddin masih hidup dalam kegemilangan masa lalu, masih bercakap ketika dia menjadi Perdana Menteri. Itu legasi beliau dan kami menghargainya serta akan mempertahankannya tetapi kita juga perlu menawarkan perkara baharu kepada rakyat termasuk muka baru,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata 16 Ahli Parlimen tersebut turut menyatakan solidariti untuk tiga Ketua Bahagian yang disiasat oleh Lembaga Disiplin parti iaitu Ketua Bahagian Pendang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis; Datuk Mohd Suhaimi Ghazali (Sepang) dan Mohd Shukor Mustafa (Puchong).
Ketiga-tiga mereka dipanggil secara berasingan oleh Lembaga Disiplin pada 30 Oktober lalu di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya.
Mereka dipercayai antara kira-kira 120 ketua bahagian yang menandatangani akuan berkanun (SD) mendesak Muhyiddin berundur dan menyerahkan jawatan presiden kepada Hamzah.
Dengan penyertaan tiga Ahli Parlimen ini, Saifuddin berkata jumlah keseluruhan Ahli Parlimen Bersatu yang sehaluan dalam menyuarakan kebimbangan telah meningkat kepada 19 orang.
Beliau turut menyatakan dua Ahli Parlimen yang memegang jawatan sebagai naib presiden parti tidak menandatangani surat tersebut namun Saifuddin percaya rasa tidak puas hati lebih meluas berbanding apa yang dizahirkan melalui dokumen itu.
Dalam hantaran susulan pada 31 Oktober bertajuk Risalah No.13, Saifuddin sekali lagi menegaskan surat tersebut bukan rayuan tetapi hanya menyampaikan sentimen Ahli-Ahli Parlimen kepada presiden.
“Ia bukan surat rayuan. Saya beritahu rakan-rakan supaya tidak melakukan apa-apa tindakan lanjut,” katanya.
Perkembangan terbaharu ini menyaksikan ketegangan semakin memuncak dalam kalangan pemimpin-pemimpin Bersatu di sebalik usaha untuk mengekalkan momentum sokongan rakyat terhadap parti berkenaan. – 2 November 2025

