KOTA KINABALU – Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat dan pemimpin Sabah untuk memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan kestabilan serta pertumbuhan ekonomi negeri itu terus terjamin.
Menurut Perdana Menteri, kesepaduan antara pentadbiran negeri dan Persekutuan adalah penting bagi memacu kemajuan ekonomi serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Bekerjasama dengan negeri, bekerjasama dengan Persekutuan. Itulah cara kita memastikan Malaysia terus maju sebagai sebuah negara yang hebat,” katanya, lapor Borneo Post.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada program Sesi Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Persatuan Industri Sabah di sini, malam ini.
Perdana Menteri yang sedang dalam lawatan kerja dua hari ke Sabah itu dijadual menghadiri beberapa acara bersama pemimpin tempatan.
Pada pagi Ahad, Anwar dan rombongannya dijadual turun padang bertemu bakal pengundi dan bersarapan di Gaya Street Sunday Market.
Pada sebelah malam, beliau dijangka mengumumkan senarai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 di Sabah International Convention Centre, sebelum meneruskan lawatannya ke daerah Tawau pada Isnin.
Menurut Perdana Menteri, kerjasama, bukan perpecahan, harus menjadi panduan kepimpinan negara, sambil menambah bahawa perbalahan politik dan perpecahan telah merugikan negara bertahun-tahun dari segi pembangunan.
“Kita sudah kehilangan banyak tahun bergaduh tentang politik. Bila kita bertelagah, tiada siapa yang menang kecuali segelintir individu yang semakin kaya, sedangkan rakyat terus bergelut,” katanya.
“Fokus kita mesti untuk membantu komuniti perniagaan dan rakyat. Itu misi kita,” tambahnya, sambil mengulangi komitmennya untuk menjadi pemimpin kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau wilayah.
“Saya Perdana Menteri untuk orang Melayu, Cina, Sabah, Sarawak, untuk Perlis dan untuk Selangor. Saya mesti menjadi Perdana Menteri untuk semua — hanya dengan itu kita boleh menyelamatkan negara ini,” katanya.
Anwar turut mengingatkan pemimpin di Sabah supaya mengutamakan kestabilan dan kerjasama ekonomi, dan bukannya politik perkauman atau perpecahan berasaskan wilayah.
“Saya tidak mahu layan ini politik kaum. Saya nak pastikan semua bekerjasama, pastikan pimpinan boleh bawa mesej Sabah, pastikan pimpinan bekerjasama kuat dengan Kerajaan Persekutuan dan fokus kepada ekonomi,” kata beliau.
Menyentuh mengenai ekonomi, Anwar berkata kerajaan negeri dan Persekutuan mesti menyelaraskan usaha untuk memperkukuh perniagaan dan perdagangan, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan pendidikan, infrastruktur dan penjagaan kesihatan di Sabah.
“Anak-anak kita perlukan pekerjaan. Mereka mesti mendapat latihan yang lebih baik. Kita perlu mempertingkatkan infrastruktur, pendidikan dan kesihatan kita. Fokus ekonomi adalah kuncinya,” katanya.
Mengakui suhu politik dijangka meningkat dalam minggu-minggu akan datang, Anwar menyeru rakyat agar kekal tenang dan berdisiplin, sambil mengingatkan pemain industri dan pemimpin bahawa keamanan dan kerjasama adalah asas untuk menarik pelaburan dan memacu pertumbuhan.
“Tiada perniagaan boleh berjalan tanpa keamanan. Perniagaan tidak boleh berkembang tanpa kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri. Jadi kita mesti memupuk semangat persefahaman ini,” katanya. – 9 November, 2025
