KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ringgit kini didagangkan pada RM4.16 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sekali gus muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata prestasi ringgit itu dapat dicapai walaupun kerajaan sebelum ini dikecam apabila mata wang domestik mengalami penyusutan berbanding dolar AS.
“Dulu kita diserang bertubi-tubi (kerana) ringgit jatuh (tetapi) sekarang bila ringgit mengukuh, tak sebut sepatah pun (pujian), inilah masalahnya. Jadi, sekarang ini, (paras ringgit) RM4.16 berbanding satu dolar AS dan muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menegaskan penilaian positif prestasi negara bukan dibuat oleh kerajaan, sebaliknya berdasarkan penarafan kredit ‘A-‘ (S&P) dan ‘A3’ (Moody’s) yang mengekalkan prospek stabil dan kukuh.
Terdahulu, pada jam 6 petang semalam, ringgit meningkat 0.4% kepada 4.1555/1635 berbanding dolar AS daripada 4.1735/1775 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.
Angka itu menjadi paras tertinggi ringgit dalam tempoh 13 bulan selepas mencatatkan 4.1625 pada 2 Oktober, 2024.
Setakat 8.01 pagi ini, ringgit meningkat kepada 4.1540/1660 berbanding dolar AS daripada 4.1555/1635 ketika ditutup semalam.
Kenyataan Perdana Menteri itu bagi menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) berhubung kaedah kerajaan mengukur kejayaan Dasar Ekonomi Madani serta strategi pengukuhannya dalam tempoh 18 hingga 24 bulan. – 11 November, 2025
