KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat penjelasan terperinci mengenai isu Pemberian Khas berdasarkan 40% hasil yang diperoleh dari Sabah di Dewan Rakyat esok.
Beliau berkata, barisan Jemaah Menteri sudah mengadakan mesyuarat khas semalam, bagi mempertimbangkan keputusan dibuat Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung perkara berkenaan.
“Saya merenung semalam dan Jemaah Menteri ada mesyuarat khas, pertimbangkan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, runding, mendengar pandangan dan usul dari setiap ahli Jemaah Menteri, paling deras (bersuara), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Maka kita memutuskan secara konsensus, soal 40 peratus itu dan pertimbangan mengenai keputusan kita (kerajaan) juga, iaitu kita tidak rayu, tetapi keputusan penghakiman itu kita rayu, saya akan perjelaskan di Parlimen esok lebih terperinci,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.
Semalam, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40% hasil yang diperoleh dari Sabah.
Susulan itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan berkata, Kerajaan Persekutuan akan segera memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Sabah.
Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil Persekutuan bagi tahun 1974 hingga 2021.
Mahkamah menerusi Hakim Datuk Celestina Stuel Galid menyifatkan pemberian khas yang dibuat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sebagai “tidak sah, ultra vires dan tidak rasional” serta melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan mengadakan semakan semula hasil bersama Kerajaan Negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi menegakkan semula hak 40 peratus hasil Sabah bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021.
Menurut perintah itu, semakan perlu dilakukan dalam tempoh 90 hari, manakala persetujuan bersama antara kedua-dua pihak perlu dicapai dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan. – 12 November, 2025
