KUALA LUMPUR – Cadangan penggabungan antara IJM Corporation Berhad dan Sunway Group perlu dikaji semula kerana ia boleh menimbulkan ketidakseimbangan pasaran apabila kontraktor kecil dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan terpinggir berikutan dominasi konglomerat besar.
Gesaan tersebut dibuat oleh Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) menerusi presidennya, Mohd Azmanizam Baharom yang menyifatkan cadangan itu bercanggah dengan semangat Dasar Ekonomi Bumiputera (DEB) dan Ekonomi Madani malah boleh menjejaskan pegangan ekonomi mengganggu keseimbangan ekosistem perniagaan bumiputera.
Jelasnya, jika penggabungan ini diluluskan tanpa kawalan sewajarnya, pegangan bumiputera dalam IJM berisiko jatuh di bawah 25 peratus, sekali gus menjejaskan suara dan kuasa ekonomi rakyat dalam sektor strategik negara.
“Perdasama mengambil serius peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar institusi pelaburan milik kerajaan (GLIC dan GLC) tidak menyerahkan aset strategik rakyat kepada golongan maha kaya.
“Institusi seperti KWSP, PNB dan Tabung Haji mempunyai tanggungjawab moral serta amanah untuk mempertahankan kepentingan rakyat, bukan tunduk kepada tekanan pasaran korporat.
“Sejarah membuktikan, apabila penguasaan ekonomi terlalu tertumpu kepada segelintir pihak, rakyat bawahan dan usahawan kecil menjadi mangsa,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Pada 4 November lalu, Scoop melaporkan Sunway Bhd sedang meneroka kemungkinan penggabungan dengan IJM Corp, yang bakal mewujudkan sebuah syarikat gergasi dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan.
Sumber pasaran memberitahu Scoop, Sunway dan IJM telah berbincang selama lebih setahun, dan penggabungan itu dijangka melibatkan pertukaran saham dalam satu urus niaga bernilai berbilion ringgit, mengambil kira aset, penilaian dan modal pasaran kedua-dua syarikat.
Pendapatan Sunway tahun lalu ialah RM7.8 bilion, manakala IJM menjana RM5.9 bilion.
Bagaimanapun IJM Corporation Bhd menafikan mempunyai sebarang maklumat mengenai kemungkinan penggabungan dengan Sunway Bhd.
Dalam satu pemakluman kepada Bursa Malaysia, syarikat tersebut menjelaskan bahawa lembaga pengarahnya belum menerima sebarang pendekatan berhubung perkara berkenaan.
Sementara itu, Azmanizam menggesa kerajaan dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menilai semula implikasi ekonomi, sosial dan pemilikan bumiputera sebelum sebarang kelulusan diberikan terhadap cadangan penggabungan itu.
Tegasnya, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu menjelaskan pendirian mereka kepada umum serta mempertahankan hak pemilihan rakyat terhadap IJM.
Untuk itu, kata Azmanizam, perbincangan terbuka melibatkan wakil industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ekonomi dan pihak berkepentingan perlu diadakan sebelum keputusan dibuat.
“Perdasama akan terus memantau isu itu bagi memastikan aset strategik milik rakyat tidak tergadai atas nama sinergi korporat atau kecekapan pasaran.
“Apabila kekayaan hanya beredar di tangan segelintir pihak, rakyat kehilangan suara dan maruah ekonomi bangsa turut tergadai,” katanya lagi. – 14 November, 2025

