KUALA LUMPUR – Majlis Media Malaysia (MMM) menegaskan usaha memperjuangkan pemilikan media yang bertanggungjawab akan berpaksi kepada akauntabiliti selepas penerbitan (post-publication), dan bukannya mengenakan kawalan ke atas sesiapa yang mahu menubuhkan syarikat media.
Pendekatan ini dibuat susulan kebimbangan betapa mudahnya untuk sesiapa saja yang mempunyai sumber kewangan menubuhkan portal berita baharu tanpa sebarang tapisan awal.
Timbalan Pengerusi Majlis Media Malaysia, Premesh Chandran berkata, sukar dan tidak wajar bagi Majlis Media untuk menilai lebih awal sama ada seseorang pemilik akan ‘bertanggungjawab’ atau tidak sebelum mereka menerbitkan sebarang kandungan.
“Kita tak boleh mengatakan, anda boleh buka syarikat, anda tak boleh. Kerana media berlaku selepas fakta,” jelasnya, sambil menambah adalah mustahil untuk mengetahui potensi tanggungjawab pemilik lebih awal.
Premesh berkata demikian ketika menjadi tetamu episod terbaharu Trick Lama oleh PoDaBoom, podcast terbitan Big Boom Media yang turut menerbitkan Scoop.
Trick Lama diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Big Boom Media, Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa; Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan (lebih dikenali sebagai Rocky Bru) dan Ketua Pengarang Kumpulan, Terence Fernandez.
Menurut Premesh yang juga pengasas bersama portal dwibahasa Malaysiakini, berkata Majlis Media berpegang teguh pada prinsip kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, yang telah diperluaskan oleh mahkamah kepada hak untuk menerbitkan.
Pernyataan ini juga merujuk kepada kes mahkamah bersejarah yang dimenangi oleh Malaysiakini menentang Kementerian di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA), di mana hakim memutuskan bahawa kebebasan bersuara tidak boleh dilemahkan oleh keperluan untuk mendapatkan lesen pra-penerbitan.
Justeru, Majlis Media menegaskan bahawa mereka tidak boleh menggubal peraturan yang bertentangan dengan Perlembagaan dengan melarang sesiapa menubuhkan syarikat media.
“Sebaik sahaja anda mempunyai syarikat, apa yang anda terbitkan boleh diteliti.
“Jika penerbitan anda didapati tidak bertanggungjawab, di situlah akauntabiliti bermula.” katanya.
Pendekatan ini dianggap sebagai cara yang lebih efektif ke hadapan—untuk memantau dan menilai apa yang diterbitkan berbanding siapa yang menerbitkan.
Mengulas mengenai kebajikan wartawan dan pengamal media yang juga dalam ruang lingkup MMM, beliau menjelaskan ia tidak akan mengambil alih peranan kesatuan seperti Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ).
“Hubungan majikan-pekerja adalah isu undang-undang kontrak yang tidak boleh dicampuri secara langsung oleh Majlis Media,” katanya.
Walau bagaimanapun, MMM boleh memainkan peranan dalam menggariskan aduan berkaitan gaji atau kebajikan yang tidak dibayar dan mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan untuk cuba memperbaiki keadaan.
Beliau menegaskan bahawa pekerja mempunyai hak dan jika tidak dibayar, mereka perlu mendapatkan bantuan melalui saluran biasa di bawah undang-undang buruh semasa.
Majlis Media Malaysia adalah sebuah badan bebas yang ditubuhkan kerajaan Malaysia sebagai mekanisme kawal selia kendiri (self-regulation) bagi industri media negara.
Ia ditubuhkan secara rasmi pada 14 Jun 2025 selepas Akta Majlis Media Malaysia 2024 diluluskan oleh Parlimen dan diwartakan serentak bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025. – 23 November, 2025

