HEADLINES

Dana 1MDB dan SRC: Kerajaan pulangkan RM31.2 bilion kepada rakyat sejak 2018

Hasil pemulihan aset 1MDB dan SRC dikawal selia ketat melalui AA MKA, digunakan khusus untuk melunaskan hutang legasi, sekali gus menegaskan komitmen kerajaan terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban fiskal

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan berjaya mendapatkan kembali dana berjumlah RM31.2 bilion (termasuk hibah dan pelarasan tukaran wang asing) berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) sejak penubuhan Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (AA MKA) pada Disember 2018 sehingga 30 September 2025, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau memaklumkan, dana AA MKA tidak digunakan untuk perbelanjaan mengurus atau pembangunan baharu, sebaliknya dikawal selia secara ketat dan hanya digunakan untuk melunaskan hutang serta memenuhi komitmen sedia ada 1MDB dan SRC.

Jelas Anwar, langkah itu penting bagi memastikan dana awam tidak terus terbeban akibat liabiliti legasi skandal tersebut.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) mengenai cara kerajaan memastikan pemulangan aset dana awam yang berjaya dipulihkan daripada kes berprofil tinggi sejak 2022 dimanfaatkan untuk projek pembangunan rakyat dengan mekanisme pemantauan telus dan berkesan.

“Setakat 30 September 2025, dana AA MKA masih berbaki sebanyak RM5.29 bilion, manakala baki obligasi hutang 1MDB pula masih berbaki sebanyak RM24.46 bilion.

“Jumlah tersebut meliputi sukuk terbitan nota jangka sederhana Islam (IMTN) berjumlah RM9.02 bilion, merangkumi prinsipal (RM5 bilion) dan faedah (RM4.02 bilion) dan Pendahuluan Pemegang Saham daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) (RM15.44 bilion),” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kewangan juga memaklumkan kerajaan terus komited memperhebatkan usaha mendapatkan semula semua dana berkaitan 1MDB dan SRC yang telah diseleweng dengan matlamat utama untuk memaksimumkan pulangan bagi melunaskan baki hutang serta memenuhi komitmen 1MDB dan SRC mengikut tempoh ditetapkan. – 28 November, 2025

Topics

 

Hangat

Is it costly for small businesses to obtain halal certification?

A restaurant owners’ group agrees it can be, while application guidelines show fee is not high but added costs lie in the process to achieve compliance

Jaya Grocer invests RM100 million in Malaysia’s first automated grocery warehouse

Jaya Grocer announces its largest investment yet, a state-of-the-art automated warehouse in Selangor, set to revolutionize supply chain efficiency, create high-skilled tech roles, and support Malaysia's digital economy

Malaysian teen made RM76,000 selling child porn as police bust major online abuse ring

Authorities arrest 31 suspects, including six minors and a religious teacher, in nationwide Op Pedo 2.0 raids that uncovered 880,000 exploitative files

Related