KUALA LUMPUR – Beban hutang terbesar kerajaan masih lagi obligasi kewangan diwarisi daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dianggarkan melebihi RM50 bilion, merangkumi nilai prinsipal berjumlah RM34 bilion dan komitmen faedah sekitar RM17 bilion.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata usaha pemulihan aset 1MDB ternyata tidak mencukupi untuk menampung sepenuhnya komitmen pembayaran balik liabiliti syarikat itu.
“Walaupun sebanyak RM42 bilion telah dibayar untuk melunaskan hutang prinsipal dan faedah sejak 2018, hanya RM29 bilion daripadanya dibiayai melalui dana hasil pemulihan asset,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan Madani komited untuk mengurangkan defisit fiskal negara secara berperingkat bagi memastikan peruntukan pembangunan kekal mencukupi untuk rakyat.
Walaupun terdapat desakan supaya kerajaan mengurangkan defisit secara lebih agresif menggunakan penjimatan subsidi, beliau berkata pendekatan semasa adalah lebih seimbang demi menyokong pertumbuhan ekonomi dalam mendepani ketidaktentuan global.
Oleh yang demikian, beliau menyarankan kerajaan negeri meneladani pendekatan Belanjawan 2026 Kerajaan Persekutuan yang memilih untuk tidak memperkenalkan cukai baharu, sebaliknya menumpukan kepada pembaikan tatakelola dan pematuhan cukai.
“Sebarang keputusan kewangan di peringkat negeri perlu dibuat dengan berhati-hati supaya tidak membebankan rakyat, termasuk cadangan menaikkan cukai tanah pada kadar terlalu tinggi seperti yang dibangkitkan dalam Majlis Tanah Negara (MTN) baru-baru ini,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Menyentuh isu berasingan, Anwar berkata keputusan melanjutkan laluan LRT Pulau Pinang merentasi laut ke Seberang Perai dibuat bagi memastikan projek itu memberi manfaat kepada kawasan majoriti Melayu dan negeri-negeri berdekatan seperti Kedah dan Perlis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu), yang mempersoalkan sama ada projek LRT Pulau Pinang dan inisiatif bandar pintar Kota Madani wajar diteruskan memandangkan keadaan hutang negara.
Rosol berkata kos LRT Pulau Pinang meningkat daripada RM10 bilion pada Oktober 2023 kepada RM13 bilion dan kemudian RM17 bilion, sedangkan jumlah sama menurutnya boleh digunakan untuk membina 340 sekolah di seluruh negara.
Menjawab dakwaan itu, Anwar berkata kenaikan kos menunjukkan usaha kerajaan memperluas capaian LRT tersebut, dan sebahagian pembiayaan projek dibiayai melalui bon yang akan dibayar secara berperingkat.
Beliau menambah LRT Pulau Pinang perlu dilihat sama seperti projek infrastruktur besar lain seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang turut menelan belanja berbilion ringgit.
“Mengapa persoal LRT Pulau Pinang tetapi tidak ECRL dan manfaatnya untuk negeri-negeri seperti Kelantan dan Terengganu?
“Kena faham bahawa LRT Pulau Pinang bukan semata-mata perbelanjaan pembangunan. Sebahagiannya dibiayai menerusi bon yang akan dibayar balik dari masa ke masa,” katanya.
Anwar turut menjelaskan bahawa projek Kota Madani di Putrajaya bukanlah pembangunan “mega city”, tetapi bertujuan menyediakan perumahan untuk 10,000 penjawat awam, katanya. – 2 Disember, 2025
