◉ HEADLINES

Felda tak ‘gentleman’ guna taktik letak peneroka jadi perisai manusia: Exco Terengganu

Notis larangan menceroboh dikeluarkan selepas Felda gagal memberi maklum balas tuntutan pembayaran hasil keuntungan sebanyak 30% tanah milik kerajaan negeri diterokai sejak 40 tahun lalu

10:10 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Dr Azman Ibrahim mempersoalkan tindakan ‘tidak gentleman’ Felda yang mengheret peneroka seolah digunakan sebagai ‘perisai manusia’ dalam isu membabitkan ladang FGV yang sedang dibangkitkan kerajaan negeri itu.

Beliau berkata, isu itu berbangkit apabila tanah ladang komersial FGV tidak diwartakan mengikut Akta Kawasan Penempatan Berkelompok 1960 (Akta GSA).

“Kenapa pengurusan Felda mahu menarik sekali peneroka dalam krisis ciptaan mereka sendiri. Peneroka tidak terbabit dan tidak bersalah sedikit pun.

“Ini tidak ‘gentleman’. Kamu guna taktik letak peneroka sebagai perisai manusia,” katanya dalam perkongsian yang dimuat naik dalam Facebook miliknya, hari ini.

Media pada Ahad lalu melaporkan, kerajaan Terengganu akan mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah diusahakan Felda di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar di negeri itu.

Menurut Azman, tindakan itu diambil selepas Felda gagal memberi maklum balas tuntutan pembayaran hasil keuntungan sebanyak 30% tanah milik kerajaan negeri diterokai sejak 40 tahun lalu.

Kerajaan negeri tegasnya sudah memberi tempoh secukupnya iaitu 40 hari seperti dipersetujui hasil perbincangan bersama dengan pengurusan Felda, termasuk menghantar surat peringatan terakhir ditandatangani Pengarah Tanah dan Galian (PTG) negeri, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak yang ditujukan kepada Pengurus Besar Felda, Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman pada Jumaat lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, semalam Felda dan FGV Holdings Berhad (FGV) dalam kenyataan bersama dilaporkan berkata, notis amaran dikeluarkan kerajaan Terengganu berkaitan ladangnya tidak memberi kesan kepada operasi ladang peneroka dan seluruh komuniti peneroka di Felda Wilayah Terengganu, sebaliknya peneroka boleh meneruskan aktiviti sara hidup masing-masing seperti biasa.

Azman ketika mengulas lanjut berkata, situasi itu berbeza kerana tanah rancangan Felda yang mempunyai peneroka dengan hampir keseluruhannya sudah diberikan geran hak milik sah kepada peneroka terbabit.

“Sebagai contoh, Felda Selasih yang dibuka pada awal 1980-an berjaya menyelesaikan pemberian geran hak milik kepada peneroka pada 2003, ketika Terengganu ditadbir PAS.

“Pada 2022, juga di bawah pentadbiran PAS, kita sekali lagi berjaya menyelesaikan pemberian geran hak milik tapak rumah kepada generasi kedua Felda Selasih. Ini rekod yang berbicara sendiri,” katanya.

Jelas Azman lagi, apabila geran hak milik dikeluarkan, ia bermakna peneroka sudah membayar premium tanah dan cukai tanah, bukan Felda.

Perkara itu tidak lagi dibangkitkan dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan isu ladang komersial FGV yang sedang diperjuangkan kerajaan negeri memandangkan tanah ladang FGV tidak diwartakan mengikut Akta GSA, katanya. – 3 Disember, 2025

Topics

 

◉ Hangat

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Can Malaysians be more friendly? Country 24th in friendliness, welcome for expats

2024 ranking a slide from 15th spot in previous year, locals in Philippines, Indonesia and Thailand easier to befriend

◉ Related