◉ HEADLINES

Kultus Korea Selatan dalam radar Polis: Saifuddin

Kementerian Dalam Negeri sahkan kumpulan itu dipantau sejak lama, namun aktivitinya belum mencapai tahap ancaman keselamatan negara

2:32 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Sebuah gerakan kultus menyimpang dari Korea Selatan yang didakwa aktif merekrut pengikut di Malaysia sebenarnya sudah lama berada dalam radar polis, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa setakat ini, kegiatan kumpulan tersebut belum mencapai tahap ancaman keselamatan negara, meskipun wujud kebimbangan awam susulan pendedahan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

“Saya telah diberi taklimat oleh pihak Cawangan Khas tentang pertubuhan itu, corak kegiatannya, penglibatan tokoh tempatan dan sebagainya.

“Fakta nombor satu ialah sememangnya gerakan ini berada dalam radar pasukan keselamatan kita,” katanya selepas merasmikan Program Kembali ke Sekolah 2025 di Kulim hari ini.

Saifuddin berkata kumpulan tersebut bergerak dalam bentuk yang kelihatan “umum” dan tidak menonjol sebagai ancaman, namun polis tetap menjalankan pemantauan berterusan bagi mengesan sebarang aktiviti yang boleh menggugat keselamatan negara.

“Barangkali kerana penampilannya begitu, maka penglibatan kehadiran beberapa tokoh politik itu berlaku… buat masa ini, kenyataan yang disebut oleh Dr MAZA itu sememangnya organisasi tersebut berada dalam makluman pihak keselamatan kita,” katanya.

Gerakan kultus dari Korea Selatan itu sebelum ini mencetuskan perhatian selepas dakwaan ia menggunakan pendekatan keagamaan yang menyimpang serta strategi perekrutan halus melalui program komuniti dan aktiviti sosial.

Beberapa negara lain turut dilaporkan memantau pergerakan kumpulan sama susulan kebimbangan terhadap doktrin dan struktur kepimpinannya yang tidak telus.

Di Malaysia, pendedahan Dr Mohd Asri minggu lalu mencetuskan perdebatan hangat apabila beliau mendakwa kumpulan itu semakin aktif dan melibatkan beberapa individu berprofil tinggi.

Dakwaan tersebut mendorong polis mempercepatkan semakan keselamatan, sekali gus mengesahkan bahawa kumpulan berkenaan memang berada dalam pemantauan sejak beberapa tahun lalu. – 13 Disember, 2025

Topics

 

◉ Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

◉ Related