HEADLINES

‘Ayah sekat media sosial kami sejak kecil’: Pengakuan anak buat penulis tersentak – Suzan Ahmad

Realiti ini dikongsi ketika negara berdepan ancaman CSAM selain menuntut akauntabiliti platform digital

2:23 PM MYT

 

NINA bersyukur arwah ayah sekat media sosial kami sejak kecil’ – ini luahan mengejutkan anak perempuan penulis ketika bersembang baru-baru ini, dua tahun selepas pemergian suami.

Dalam usia yang baru mencecah awal 20-an, pelbagai berita membabitkan eksploitasi seksual kanak-kanak mahupun remaja di media sosial sudah mampu meresahkannya.

Perkara itu membuat penulis terpanggil untuk berkongsi coretan kebetulan berpeluang menghadiri satu perbincangan meja bulat dengan sebuah kementerian baru-baru ini berkaitan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 dan ancaman kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM).

Menerusi dapatan tersebut ancaman bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) kembali menjadi fokus negara apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas lebih 880,000 fail berkaitan dalam operasi besar-besaran hujung September lalu.

Mengikut data, seramai 31 individu ditahan di 37 lokasi, sekali gus mendedahkan skala pengedaran yang semakin canggih dan berbahaya.

Mengapa CSAM relevan dibangkitkan

CSAM kini muncul dalam pelbagai bentuk — imej diubah suai, rakaman dipaksa dan bahan yang disebarkan melalui kumpulan tertutup atau akaun tanpa nama. Lebih membimbangkan, transaksi dikaitkan dengan bahan haram ini turut dikesan menggunakan sistem pembayaran tanpa tunai, menjadikan rangkaian pengedaran semakin sukar dipatahkan.

Kerajaan dalam masa sama mengumumkan langkah menetapkan umur minimum 16 tahun untuk akses media sosial, disokong mekanisme jaminan umur dan pengesahan identiti. Langkah ini dilihat sebagai benteng awal bagi menghalang kanak-kanak daripada terdedah kepada ruang dalam talian berisiko tinggi.

Menurut satu kenyataan rasmi, pihak FBI dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat turut menegaskan komitmen penuh terhadap kerjasama rentas sempadan bersama SPRM, AGC dan NFCC bagi memastikan semua aset serta kandungan haram dapat dijejak, disita dan dipulihkan mengikut undang-undang.

Hakikatnya, kebimbangan awam semakin meningkat — masyarakat menuntut platform digital bertanggungjawab penuh dalam melindungi kanak-kanak, dengan pengesanan awal dan penyingkiran segera menjadi garis pertahanan utama.

Malah, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail Ogos lalu mendedahkan, Malaysia kerugian lebihRM1.22 bilion akibat jenayah siber dalam tempoh 10 bulan tahun lalu.

Tabung kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) baru-baru ini turut mengalu-alukan komitmen Malaysia, namun mengingatkan tindakan mengehadkan umur semata-mata tidak cukup untuk melindungi kanak-kanak.

Jelas pertubuhan itu, platform digital turut menyediakan peluang penting untuk pembelajaran, hubungan sosial, permainan dan ekspresi diri, justeru sebarang langkah melindungi kanak-kanak perlu diimbangi dengan keselamatan dan hak mereka untuk menyertai, mendapatkan maklumat dan menikmati privasi.

Berbalik ke para awal coretan ini, mungkin ramai dapat menjangka bahawa penulis sama seperti ramai ibu bapa lain, tidak banyak masa bersama anak-anak berbanding arwah. Sedikit latar belakang, arwah seorang penghibur dan pemuzik. Jadualnya banyak tertumpu pada hujung minggu mengisi undangan persembahan, jadi agak fleksibel.

Justeru beliau kaya masa bersama anak-anak berbanding penulis. Keadaan ini menjadikan peranan pemantauan, pengawasan dan komunikasi dengan anak-anak lebih berkesan.

Sekatan, pemantauan dan keterlibatan ibu bapa itu perlu

Mungkin boleh dianggap sedikit ‘kolot’ tapi penulis diajar untuk tidak percaya anak-anak sepenuhnya. Sekatan masih perlu untuk anak-anak remaja namun dalam masa sama kita perlu membina hubungan positif dengan mereka. Mengapa? kerana lumrah alam, makin disekat makin licik jadinya.

Laburlah secara aktif dalam program selepas sekolah, bengkel kreatif, dan kelab sukan yang memastikan golongan muda terus terlibat di luar talian sekali gus membina daya tahan dalam talian.

Pastikan sokongan kesihatan mental mudah diakses dan mampu ditanggung. Wujudkan pelbagai aktiviti hujung minggu yang menghimpunkan ibu bapa dan remaja bersama.

Mungkin benar, mengharamkan media sosial tidak akan mengajar empati atau menjauhkan remaja daripada laman gelap sepenuhnya namun sekatan, pemantauan dan keterlibatan ibu bapa itu perlu.

“Ayah benarkan kami guna telefon diluar waktu sekolah, disimpan dan tidak dibenar dibawa ke bilik tidur…ia terbukti dan dia berjaya,” kata Nina. – 15 Disember, 2025

Penulis adalah Sub Editor Kanan Scoop.my

Topics

 

Popular

[UPDATED] Welcome back to the Black Parade: My Chemical Romance set to rock Malaysia in 2026

Emo legends to play Bukit Jalil on April 30 as part of their long-awaited world tour, with Malaysian tickets ranging from RM299 to RM1,099 and sales opening on July 11, 2025

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

ASNB announces RM2.18 bil dividend payout

ASB 2 declares distribution of 5.50 sen per unit to 614,309 unitholders while ASM declares five sen per unit to 740,513 unitholders

Related