HEADLINES

Platform pesanan internet, media sosial lebih 8 juta pengguna dianggap berdaftar mulai 1 Jan 2026: MCMC

Pengawal selia komunikasi Malaysia akan secara automatik meletakkan platform perkhidmatan pesanan internet dan media sosial utama di bawah rangka kerja pelesenannya mulai Januari 2026, satu langkah yang bertujuan memperkukuh kebertanggungjawaban serta melindungi kanak-kanak dan keluarga dalam talian

12:33 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia akan dianggap berdaftar sebagai pemegang lesen Penyedia Perkhidmatan Aplikasi Kelas (ASP(C)), bagi melindungi kanak-kanak dan keluarga dalam talian.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataannya berkata, ia akan disifatkan berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) melalui pengetepian formaliti pendaftaran di bawah seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Peruntukan Deeming). 

Peruntukan tersebut, katanya akan terpakai kepada penyedia perkhidmatan berskala besar yang memenuhi kriteria ditetapkan, termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube, dan akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.

“Langkah ini untuk memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial kepada pengguna di Malaysia beroperasi dalam kerangka perundangan serta kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan. 

“Inisiatif ini memastikan semua platform yang terlibat memikul tanggungjawab yang lebih jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga,” katanya.

MCMC turut menambah langkah berkenaan bertujuan memperkukuh pematuhan terhadap undang-undang Malaysia yang mengawal selia perkhidmatan dalam talian.

Menurut MCMC, penyedia perkhidmatan yang telah berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) akan kekal berdaftar, dan pelaksanaan ini hanya akan berkuat kuasa selepas tempoh pendaftaran sedia ada tamat. 

“Penyedia perkhidmatan yang terlibat akan terus beroperasi menerusi platform global mereka seperti biasa. 

“Pendekatan ini sejajar dengan amalan antarabangsa dalam mengawal selia platform dalam talian berskala besar,” kata MCMC.

Selain itu,  MCMC  memberitahu ia akan terus bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan dan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk memperkukuh keselamatan dalam talian terutamanya kanak-kanak serta keluarga demi manfaat semua pengguna di Malaysia. 

Maklumat terperinci tentang pelaksanaan Peruntukan Deeming boleh diperoleh melalui laman sesawang MCMC. – 15 Disember, 2025

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Harimau Malaya is TMJ’s vision: CEO

Rob Friend describes Johor Crown Prince as 'the visionary' behind Harimau Malaya’s heritage player initiative

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Related