HEADLINES

Thailand, Kemboja setuju hadiri mesyuarat Menteri Luar Asean di KL minggu depan: PM

Ia sekali gus membuka ruang kepada usaha kolektif ASEAN untuk meredakan ketegangan sempadan, memujuk gencatan senjata serta menempatkan Pasukan Pemerhati bagi memastikan rundingan damai dapat diteruskan

10:35 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Thailand dan Kemboja bersetuju untuk menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 22 Disember ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata inisiatif yang diusahakan oleh Malaysia dan ASEAN itu bertujuan mengendurkan ketegangan serta mengelakkan sebarang peningkatan konflik di sepanjang sempadan Thailand – Kemboja.

Menurut Anwar, mesyuarat itu akan membolehkan ASEAN berbincang secara kolektif, menentukan  fakta sebenar di lapangan, serta mempergiat usaha memujuk kedua-dua pihak untuk menghentikan serangan di barisan hadapan, bermula dengan gencatan senjata  serta-merta.

“Kami merayu kepada mereka supaya menghentikan serangan di barisan hadapan ini dengan segera dan jika boleh, gencatan senjata  serta-merta. Mereka kurang senang dengan istilah gencatan senjata kerana ia seolah-olah menunjukkan persetujuan mereka. Jadi, jika anda lihat kenyataan saya, saya menggesa semua pihak untuk mematuhi gencatan senjata ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Rabu dalam sesi taklimat selama sejam bersama ketua-ketua pengarang media tempatan dan antarabangsa mengenai prestasi tahun 2025 dan prospek untuk tahun hadapan.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama)  Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.

Anwar berkata Malaysia tidak berada dalam kedudukan untuk mengeluarkan “arahan” kepada menteri-menteri luar, namun pemimpin dan menteri ASEAN sentiasa berhubung rapat melalui penglibatan di pelbagai peringkat.

“Saya tidak memberikan arahan kepada menteri-menteri  luar, tetapi kami berkomunikasi hampir setiap hari,” tegas beliau.

Anwar berkata keputusan untuk mengadakan mesyuarat itu menyusul selepas rundingan berterusan dengan Perdana Menteri Thailand dan Kemboja. Beliau turut dimaklumkan mengenai perkembangan terkini oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang menghubunginya mengenai perkara itu.

“Presiden Trump menghubungi saya dan memberikan maklumat terkini. Saya memberitahu Presiden Trump bahawa adalah penting untuk meyakinkan mereka supaya menghentikan serangan,” katanya.

Beliau berkata walaupun tarikh itu telah dipersetujui lebih awal, kedua-dua Perdana Menteri pada mulanya berhati-hati  untuk mengadakan rundingan terlalu awal jika ketegangan di lapangan belum reda, namun kini kedua-dua negara telah bersetuju untuk hadir pada 22 Disember.

“Anda lihat dalam kalangan pihak  yang sedang bertelagah, selalunya sukar untuk membawa mereka duduk berbincang. Namun di sini, atas inisiatif Malaysia dan ASEAN, mereka telah bersetuju untuk hadir,” katanya.

Anwar berkata pandangan kolektif menteri-menteri luar ASEAN adalah penting dalam memujuk kedua-dua pihak menghentikan permusuhan sebelum beralih kepada perbincangan mengenai parameter jangka sederhana dan panjang bagi penyelesaian secara aman.

Beliau menambah bahawa Thailand dan Kemboja juga telah bersetuju dengan penempatan Pasukan Pemerhati ASEAN, selain memaklumkan Panglima Angkatan Tentera Malaysia akan berlepas ke sempadan dalam masa beberapa hari lagi untuk meneruskan libat urus di peringkat ketenteraan.

Anwar berkata penglibatan Malaysia akan diteruskan melalui pelbagai saluran, termasuk komunikasi antara pemimpin, menteri-menteri luar dan panglima angkatan tentera masing-masing.

“Saya kekal optimis dan berhati-hati kerana apabila saya bercakap dengan kedua-dua Perdana Menteri, mereka berhasrat untuk mencapai penyelesaian damai secepat mungkin,” katanya sambil berharap menjelang 22 Disember ini, ASEAN dapat membantu memeterai persefahaman, tertakluk kepada persetujuan kedua-dua pihak. – 17 Disember, 2025

Topics

 

Hangat

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Online scams in Malaysia cost victims over RM3.18bil in less than three years

Rising threat of online scams in Malaysia: understanding, prevention and legal responses

Related