HEADLINES

NeHDA kecewa sikap APAD, didakwa membisu dalam isu kritikal libatkan e-hailing

NeHDA berkata beberapa perkata termasuk isu tambang, insurans dan penetapan harga tambang lantai dibangkitkan namun tiada tindakan susulan atau rundingan diambil APAD

1:33 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Pemandu E-Hailing Utara (NeHDA) kecewa dengan sikap Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang didakwa membisu dan bersikap sambil lewa terhadap perkara yang dibangkitkan pada sesi libat urus bersama persatuan-persatuan pemandu e-hailing seluruh negara pada 17 November lalu.

NeHDA dalam kenyataannya berkata, selaku suara rasmi pemandu e-hailing di wilayah utara, isu yang dibangkitkan ialah mengenai sistem tawar-menawar tambang, kenaikan mendadak insuran e-hailing, penetapan harga tambang lantai dan siling serta tiada paparan harga semasa tempahan.

Jelasnya, meskipun Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengeluarkan arahan jelas bahawa sistem tawar menawar tidak dibenarkan, namun terdapat syarikat e-Hailing yang masih meneruskan amalan ini secara terang-terangan.

“Lebih mengecewakan, tiada sebarang tindakan penguatkuasaan diambil oleh APAD terhadap pelanggaran ini.

“Selain itu, bermula tahun hadapan, pemandu dijangka menanggung beban kos insurans yang meningkat secara drastik dan ini menambah tekanan kepada pendapatan yang sedia terhimpit,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

NeHDA turut memberitahu, persatuan itu bersama rakan-rakan persatuan lain telah mengemukakan cadangan struktur tambang yang lebih adil namun sehingga kini tiada tindakan susulan atau sesi rundingan bersama operator e-hailing diadakan oleh APAD.

“Tiadanya paparan harga semasa tempahan berlaku dalam keadaan pemandu hanya diberikan masa cuma 10 saat untuk menolak atau menerima sesuatu tempahan masuk dan secara automatik dikira pemandu bersetuju untuk menerima tempahan tersebut jika lambat membatalkannya.

“Ini adalah satu bentuk paksaan dan penindasan secara halus dan kami melihat kegagalan ini sebagai satu bentuk ‘pengabaian tanggungjawab oleh pihak berwajib’ khususnya APAD dan Kementerian Pengangkutan, dalam melindungi kebajikan lebih 300,000 pemandu eHailing di seluruh negara.

“Di kawasan utara sahaja, lebih 2,500 pemandu kini berdepan ketidaksamarataan harga tambang berbanding kawasan lain, walaupun kos operasi seperti minyak dan penyelenggaraan adalah sama,’’ katanya yang turut mempersoalkan sama ada ia bentuk penindasan sistemik terhadap pemandu di utara.

Justeru NeHDA menyeru supaya APAD segera mengadakan sesi libat urus susulan bersama semua pihak berkepentingan dengan melaksanakan segera struktur tambang yang adil dan telus demi kelangsungan hidup pemandu.

“NeHDA akan terus memperjuangkan hak dan suara pemandu eHailing demi masa depan industri yang lebih adil, mampan dan berperikemanusiaan,’’ katanya. – 21 Disember, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Subsidised RON95: how cheap is Malaysia’s fuel compared to neighbours?

There has been a spate of viral videos showing vehicles from neighbouring countries such as Thailand and Singapore being filled with Malaysia's heavily subsidised RON95 petrol, indicating a blatant disregard for local laws.

Related