HEADLINES

Pengarah teknilal NFDP yang baru tetapkan rangka kerja kurangkan kebergantungan pada pemain warisan

Susulan kemelut pemain warisan, Ong Kim Swee memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan

8:06 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Ong Kim Swee, yang baru dilantik sebagai Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD), ingin membina semula NFDP dan AMD bagi melahirkan bakat tempatan untuk pasukan kebangsaan Malaysia.

Beliau menegaskan kehadirannya bukan untuk menuding jari sebaliknya mahu membina pasukan itu, yang dalam beberapa tahun kebelakangan ini berdepan kesukaran, memaksa pasukan senior bergantung sepenuhnya kepada pemain warisan.

Bagaimanapun, bekas ketua jurulatih Harimau Malaya itu secara jujur berkata, tugas tersebut memerlukan masa berterusan selama bertahun-tahun bagi melihat hasil yang nyata dalam pembangunan pemain muda.

“Pembangunan tidak menunjukkan hasil dalam satu, dua, atau bahkan tiga tahun. Ia boleh mengambil masa lima, sepuluh, atau lima belas tahun. Walaupun saya mungkin tidak mengawasi program ini sepanjang tempoh itu, kami akan melaksanakannya dengan perspektif jangka panjang,” katanya kepada Scoop ketika dihubungi.

Kim Swee, yang kerjayanya sentiasa berkisar sekitar bola sepak remaja, berkata tumpuan kini adalah kepada kemajuan, bukan menyalahkan sesiapa.

“Saya bukan di sini untuk menyalahkan sesiapa – Majlis Sukan Negara (MSN), persatuan bola sepak negeri, FAM, atau mana-mana pihak lain.

“Objektif utama saya adalah memastikan kita menghasilkan pemain yang mencukupi untuk pasukan kebangsaan. Bergantung kepada pemain warisan dan naturalisasi hanyalah penyelesaian jangka pendek,” tambahnya.

Beliau juga menekankan cabaran terdahulu, termasuk koordinasi dengan persatuan bola sepak negeri dan kekangan pembiayaan.

Di bawah NFDP, pembangunan akar umbi distrukturkan melalui Akademi Tunas untuk pemain muda, Pusat Latihan Daerah untuk belia yang lebih tua, dan Ketua Jurulatih Remaja Negeri yang mengawasi program di peringkat negeri.

Mengembangkan rangkaian pencarian bakat akan menjadi keutamaan Kim Swee apabila kejohanan domestik bersambung pada tahun baru.

Beliau turut menegaskan bahawa Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas untuk jurulatih adalah penting.

“Sesiapa yang bekerja dalam bola sepak memerlukan KPI untuk mengambil peranan mereka dengan serius,” kata Kim Swee.

“Sesetengah jurulatih telah berada dalam jawatan bertahun-tahun tanpa sasaran yang boleh diukur, dan itu menjejaskan keputusan. Setiap jurulatih yang saya lantik akan mempunyai objektif yang jelas untuk dicapai dalam dua tahun akan datang,’’ katanya.

Di bawah kontrak tiga tahunnya, salah satu KPI utama beliau adalah membimbing pasukan remaja Malaysia untuk layak ke Piala Dunia FIFA B-17.

Walaupun tumpuan segera adalah kepada pencarian bakat dan meningkatkan pengurusan teknikal, Kim Swee berkata matlamat utama adalah mewujudkan aliran bakat yang lestari untuk menghasilkan pemain berkualiti bagi pasukan kebangsaan dalam dekad akan datang.

Jurulatih berusia 55 tahun yang berasal dari Melaka itu, yang memimpin pasukan bawah 23 tahun kebangsaan meraih pingat emas Sukan SEA pada 2011, pernah mengendalikan liga M-League dan Liga Indonesia bersama Persis Solo dan Persik Kediri.

Kim Swee mengambil alih daripada Oscar Francisco Gonzalez Diaz, yang mengetuai NFDP sejak Mei tahun lalu. – 25 Disember, 2025

Topics

 

Popular

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Related