KUALA LUMPUR – “Tiada wanita harus dijadikan objek seks atau hiburan” demikian peringatan lantang Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang mahu budaya songsang dan tidak bermoral di kem tentera dibanteras habis-habisan demi menjaga maruah anggota dan institusi ATM.
Khaled menegaskan tiada wanita wajar dijadikan objek seks atau hiburan di mess pegawai dan Wisma Perwira.
“Panggillah dengan apa nama sekalipun, ‘yeye’, ‘yaya’ atau apa sahaja. Ia adalah perkara keji, tidak bermoral dan bercanggah dengan cara hidup Islam,” katanya.
Beliau menekankan bahawa Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah lama mengharamkan kegiatan tidak bersahsiah di semua kem seluruh negara, dengan garis panduan sosial yang jelas dan tegas.
“Lebih-lebih lagi dengan penubuhan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), yang sepatutnya membendung apa-apa unsur mungkar dalam kalangan anggota kita. Aktiviti-aktiviti haram dan tidak bermoral sebegini tidak sepatutnya berlaku lagi di mana-mana kem kita,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan.
Khaled menegaskan, pelecehan hak asasi tidak boleh diterima sama sekali.
“Kepada sesiapa sahaja yang terbabit dalam semua kemungkaran moral ini, yang merosakkan imej mulia ATM, kita akan pastikan anda semua dihukum dan tersingkir dengan keji daripada perkhidmatan. Sebelum ini, kita tidak pernah teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas dan menjatuhkan hukuman berat kepada setiap pelaku kesalahan sebegini,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa kenyataan itu bukan sekadar retorik, malah terpakai kepada mereka yang cuba merosakkan imej MINDEF dan ATM dengan kelakuan tidak berdisiplin.
“Amaran saya juga kepada mereka yang menghabiskan masa bermain golf di luar waktu yang dibenarkan, atau bersembang kosong di kedai kopi semasa waktu bekerja, disiplin ketenteraan akan kita tegaskan dan kuatkuasakan. Masa bekerja adalah masa untuk kerja-kerja yang bermanfaat dan membangun, bukan sebaliknya. Justeru, kembalilah kepada waktu kerja yang sebenar dan bekerjalah dengan bersungguh-sungguh.
“Kembalilah kepada perlakuan sebagai pahlawan yang budiman kerana masa bekerja juga bukan untuk kita bersosial di media sosial. Segala pandangan kita di media sosial mesti memaparkan etika kita sebagai anggota pertahanan negara,” katanya. – 12 Januari, 2026
