KUALA LUMPUR – Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengingatkan para hakim bahawa kenaikan gaji hakim sebanyak 30 peratus perlu seiring dengan peningkatan tanggungjawab.
Menurut beliau, imbuhan yang adil juga berfungsi sebagai satu perlindungan penting kepada badan kehakiman.
“Badan kehakiman yang menerima imbuhan setimpal mampu membantu melindungi para hakim daripada pengaruh tidak wajar, menggalakkan tokoh perundangan berkeupayaan tampil berkhidmat dan membolehkan mereka yang bersidang melaksanakan tanggungjawab tanpa sebarang kebimbangan dari segi kewangan,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Tahun Perundangan 2026 di sini, hari ini.
Kenaikan gaji hakim sebanyak 30 peratus itu telah diwartakan pada 1 Januari lepas dan langkah tersebut, yang memenuhi janji Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2026, terpakai kepada semua hakim daripada Mahkamah Tinggi hingga Mahkamah Persekutuan.
Wan Ahmad Farid juga berkata, kenaikan gaji hakim sebanyak 30 peratus mampu memperkasa kebebasan badan kehakiman kerana mereka tidak menerima kenaikan tahunan dan dilarang memegang jawatan lain atau terlibat dalam perniagaan.
“Ini merupakan pelarasan pertama dalam tempoh sedekad… memandangkan para hakim tidak menikmati kenaikan tahunan dan dilarang memegang jawatan lain atau terlibat dalam perniagaan, kenaikan ini mencerminkan pengiktirafan yang jelas terhadap tuntutan serta tanggungjawab yang perlu dipikul oleh pegawai dalam bidang kehakiman.
“Ia turut membuktikan komitmen bermakna dalam usaha mempertingkat kebajikan para hakim sekali gus menyokong pentadbiran keadilan yang berdaya tahan, berwibawa dan berpestasi tinggi,” katanya sambil menambah pada pandangan beliau, kenaikan itu menyumbang secara langsung kepada langkah pemerkasaan kebebasan badan kehakiman.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Farid berkata, hakim biasanya tidak akan membalas sebarang kritikan awam terhadap keputusan mahkamah.
“Para hakim tidak akan memberi respons kepada kritikan… Kami hanya menjawab melalui alasan penghakiman dan penghakiman bertulis… apabila ada pihak menyerang kami di Internet, biasanya kami tidak akan membalas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyentuh mengenai kritikan terhadap badan kehakiman susulan keputusan dan penghakiman terperinci yang disampaikan pada 26 Dis 2025 dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada 26 Disember lepas, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda berjumlah RM11.4 bilion selepas mendapati Najib bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.3 bilion yang dikaitkan dengan 1MDB.
Hukuman itu hanya akan berkuat kuasa selepas Najib selesai menjalani hukuman penjara enam tahun dalam kes SRC International Sdn Bhd melibatkan penyelewengan dana RM42 juta, yang dijadualkan berakhir pada 23 Ogos 2028. – 12 Januari, 2026
